BELANJAWAN 2024 > BERITA

Negara Berdepan Isu Banjir Di Kawasan Tidak Pernah Berlaku Sebelum Ini

27/09/2024 02:44 PM

PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Negara kini berhadapan cabaran serius iaitu kerap berlaku banjir dan banjir di kawasan yang tidak pernah dilanda bencana itu, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.

Beliau berkata ketika ini kadar dan intensiti banjir semakin meningkat malah jumlah hari bencana itu turut meningkat di beberapa negeri.

“Kita nampak sekarang ini kekerapan (banjir) bertambah, jumlah hari banjir makin lama makin tinggi dan paling merisaukan bagi saya ialah tempat dulu yang tak pernah mengalami banjir sekarang mengalami banjir.

“Tetapi, kita tidak bersedia, macam insiden banjir di Kelantan dan Terengganu dah biasa, sebab dah terlalu biasa, sampai kanak-kanak tertunggu-tunggu banjir. Namun, banjir ialah pengalaman yang traumatik,"  katanya pada sesi rapat umum Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata situasi itu telah menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering memberikan keutamaan dan memandang serius projek tebatan banjir di seluruh negara.

“Kita tengok di dada akhbar, selalu keluar, bila perdana menteri (Anwar) pergi mana-mana, mesti fokus dia pada projek tebatan banjir sebab isu banjir ini makin lama menjadi lebih penting,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan RM11.8 bilion untuk pelaksanaan 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi di seluruh negara dalam Belanjawan 2024.

Raja Nurshirwan berkata IKK amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bencana serta tahap keselamatan negara sekali gus mempersiapkan rakyat dalam berhadapan sebarang bencana.

“Kalau kita tiada IKK, tugas kita untuk tingkat kesedaran isu keselamatan akan jadi masalah. Saya harap menerusi sesi penglibatan seperti ini, orang awam akan lebih berpengetahuan mengenai sebahagian cabaran ini," katanya.

Menerusi IKK, kerajaan mendapat maklum balas dan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai aspek keselamatan serta memastikan wujud konsensus tentang isu keselamatan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Sesi rapat umum IKK membincangkan mengenai sembilan teras yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 iaitu kedaulatan dan keutuhan Malaysia, kestabilan sosiopolitik, tatakelola yang baik, keutuhan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat dan pengiktirafan antarabangsa.

IKK telah dilancarkan Anwar pada 30 Julai lepas sempena Bulan Keselamatan Negara 2024. Indeks itu merupakan instrumen pengukuran rasmi terhadap tahap keselamatan negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan