BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia Perlu Bertindak Pantas Dalam Berdepan Persaingan Sengit Untuk Elak Ketinggalan - PM Anwar

27/09/2024 03:05 PM

KLANG, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia bertindak pantas mendepani persaingan sengit di peringkat serantau untuk mengelak negara ketinggalan dalam menarik pelaburan.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan keupayaan untuk melaksanakan dasar yang dilancarkan kerajaan dalam memacu pelaburan dan perdagangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ini memandangkan pelabur amat menitikberatkan keupayaan negara melaksanakan dasar meliputi perindustrian dan digital serta aspek ketelusan dalam pelaksanaan dasar mesra pelabur.

“Kita tidak bergerak berasingan. Kita berdepan dengan rantau yang dinamik dan persaingan itu sangat hebat. Kalau kita lembap (dan jika) kita anggap kejayaan kecil itu cukup membanggakan, kita akan ketinggalan,” kata beliau dalam ucapan pada majlis pecah tanah Westports 2 di sini hari ini.

Anwar berkata usaha kerajaan untuk memudah cara perniagaan termasuk mempercepat kelulusan dan meningkatkan kecekapan serta menghapuskan rasuah diperakui pelabur asing yang telah memberi komitmen pelaburan di negara ini seperti Amazon Web Services, anak syarikat Amazon.com Inc.

Beliau juga mahu agensi dan syarikat korporat mengambil pendekatan sama supaya Malaysia kekal sebagai hab pilihan di rantau ini terutamanya dalam sektor seperti perindustrian dan digital.

Anwar turut memuji prestasi kukuh Westports dan mahu pelabuhan di Malaysia memperkemas infrastruktur dan ekosistem bagi menyokong aspirasi negara dalam menarik pelaburan dan perdagangan yang lebih tinggi.

Beliau berkata keupayaan Westport sebagai hab maritim dan logistik global diperakui dunia dan kedudukannya akan terus mengukuh melalui pembukaan terminal kontena baharu di Westports 2 kelak.

Pembangunan fasa dua projek pembesaran di terminal kontena oleh Westports Holdings Bhd yang bermula dari CT10 hingga CT17 akan diterjemahkan kepada penggandaan kapasiti pengendalian kontena Westports kepada 28 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) daripada 14 juta TEU dicatatkan pada masa ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan