BELANJAWAN 2024 > BERITA

Para SUKMA: Suami Isteri Bawa Pulang Empat Emas

27/09/2024 06:05 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUCHING, 27 Sept (Bernama) -- Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Norhayati Sarnoh meraih empat emas dalam sukan catur sekali gus menyamai pencapaian suaminya Khairul Razi Suliman dalam sukan renang, antara episod menarik pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) di sini hari ini.

Norhayati, 43, yang kehilangan daya penglihatan semenjak berusia 19 tahun akibat alahan ubat berkata pada mulanya beliau sekadar mencuba nasib setelah dipelawa oleh rakan baiknya untuk mempelajari permainan papan itu. 

Beliau tidak menyangka mampu menjadikan sukan berkenaan sebagai antara lubuk rezeki, di samping berperanan sebagai tenaga pengajar di sebuah pusat orang buta di Kuala Lumpur.

“Saya sebenarnya pemain boling padang bermula tahun 2004 hingga 2014, sehingga pernah memenangi emas pada kejohanan dunia pada 2009. Namun, saya mengambil cuti dua tahun (2015 dan 2016) untuk menguruskan anak selepas bersalin. 

“Namun, saya kembali aktif dalam dunia sukan pada 2017 dalam sukan catur apabila seorang rakan mengajar saya cara bermain satu per satu. Saya mengambil perkara berkenaan sebagai satu tanggungjawab dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hotel Raia di sini hari ini.

Norhayati terdahulu menggondol empat pingat emas menerusi acara standard B1 (kecacatan penglihatan) perseorangan wanita, acara standard B1 berpasukan wanita, acara rapid B1 perseorangan wanita dan acara rapid B1 berpasukan wanita. 

Kemenangan empat emas itu setanding pencapaian suaminya yang mewakili Johor dalam sukan renang, mengungguli 100 meter gaya bebas lelaki S12 (kecacatan penglihatan), 100m gaya kuak lentang lelaki S12, 100m gaya kuak dada lelaki SB4 dan 50m gaya bebas lelaki S12. 

Lebih mengagumkan, Khairul Razi merekodkan 29.42 saat (s) dalam acara 50m gaya bebas lelaki S12 sekali gus memadam rekod kebangsaan Julius Jaranding dari Sarawak 29.45s enam tahun lepas.

Sementara itu, Norhayati yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata berkata persefahaman antara mereka suami isteri telah membawa kepada kemenangan hari ini, apabila masing-masing bijak memainkan peranan.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada suami yang sentiasa memberi galakan kepada saya untuk mempunyai masa latihan walaupun dia sendiri merupakan atlet renang. 

“Suami banyak menguruskan anak-anak semasa saya berlatih dan begitu juga sebaliknya. Komitmen saya agak besar dengan menguruskan keluarga, pekerjaan dan latihan, tapi saya syukur atas kejayaan bersama ini,” katanya. 

Norhayati yang membuat penampilan kali ketiga pada temasya dwitahunan itu berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan itu kerana masih belum pasti sekiranya ingin membuat penampilan pada edisi seterusnya.

Beliau berkata ini kerana fokus utamanya selepas ini adalah untuk memberikan perhatian lebih khusus kepada keluarga tercinta yang sentiasa berada di sisinya dalam susah dan senang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan