BELANJAWAN 2024 > BERITA

Belanjawan 2025: Mohd Na'im Harap Peruntukan Untuk Pembangunan Syiar Islam Ditambah

27/09/2024 05:28 PM

KUALA KRAI, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap peruntukan untuk memfokuskan pembangunan syiar Islam ditambah dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

Menteri berkenaan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Anwar merupakan seorang pemimpin yang sangat prihatin dengan perkembangan Islam khususnya dari segi pendidikan manakala jumlah peruntukan, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

"Saya percaya hasrat untuk mendapatkan peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 akan terlaksana memandangkan Perdana Menteri seorang pemimpin prihatin dalam pembangunan hal ehwal Islam.

"Selain itu, kami juga telah mengadakan sesi libat urus dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi membincangkan perkara itu (peruntukan tambahan pembangunan syiar Islam)," katanya kepada pemberita selepas program santuni komuniti MADANI di Kampung Telekong di sini hari ini.

Pada Belanjawan 2024, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Ia termasuk pembinaan dua institusi pendidikan Islam iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Mohd Na'im meminta semua pihak agar memberi ruang kepada Jawatankuasa Fatwa MKI untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Saya tidak mahu ulas isu ini dan menyerahkan sepenuhnya perkara berkaitan GISBH kepada Jawatankuasa Fatwa MKI," katanya.

Pada 11 Sept lepas, polis mengadakan serbuan Op Global terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan GISBH. 

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan