BELANJAWAN 2024 > BERITA

Para SUKMA: Berlatih Di Parkir Kereta Tidak Halang Abid Tuai Emas

27/09/2024 06:43 PM

KUCHING, 27 Sept (Bernama) -- “Kami takdo dewan ko, gym ko, berlatih kek kawasan parking keto jo, tapi monang omeh (Kami tiada dewan atau pusat gimnasium untuk sesi latihan, hanya berlatih dekat parkir kereta sahaja tetapi menang emas)”.

Demikian luahan atlet powerlifting Negeri Sembilan Abid Zuhairi Mohd Johari, 30, ketika berkongsi kejayaan memadam rekod kebangsaan 111 kilogram (kg) miliknya sebelum ini, menerusi angkatan ketiganya iaitu 122kg di pentas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, hari ini.

Tidak melihat perkara itu sebagai pematah semangat untuk meraih tempat di podium, bapa kepada dua orang anak yang sudah menyertai SUKMA bagi acara berkenaan sejak 2016, menepati ramalan mempertahankan kedudukannya sebagai juara kategori lelaki lebih 107kg.

“Latihan mingguan Sabtu hingga Ahad atlet negeri semua di parkir rumah pengurus pasukan (Norsiah Mohamad) di Rembau… kami sediakan sendiri peralatan regangan jadi belilah barang tambahan, sama-sama kumpul duit dan ada juga dapat bantuan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS).

“Perasaan nak menyerah kalah itu memang tiada, sebab fokus saya ialah emas dan untuk mengatasi rekod sendiri… kalau ada rezeki, insya-Allah selepas ini ada hasrat nak mewakili Malaysia dalam Sukan Para ASEAN di Thailand nanti,” katanya kepada Bernama.

Skuad para powerlifting Negeri Sembilan mempamerkan aksi cemerlang apabila menyapu empat emas, tiga perak dan dua gangsa pada edisi kali ini.

Abid berharap kejayaan yang dibuktikan oleh skuad powerlifting negeri sepanjang temasya ini bakal membuka mata pihak seperti JBSNS, untuk membina kemudahan selesa bagi pasukannya mengadakan latihan pada masa hadapan.

“Sebelum ini saya main untuk pasukan Kuala Lumpur masa 2016 kemudian masuk edisi 2018 saya mewakili Negeri Sembilan sehingga sekarang, itu pun sebab ajakan daripada arwah (Leftenan Komander (B)) Kamaruzaman Kadir yang merupakan bekas Presiden Para Powerlifitng Malaysia,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Terdahulu, Abid merangkul dua emas bagi angkatan terbaik 122kg serta jumlah keseluruhan 359kg selepas mengangkat 116kg, 121kg dan 122kg, sekali gus menewaskan Rusdi Arman Alias dari Selangor yang meraih tempat kedua (120kg, 235kg) manakala gangsa menjadi milik Muhammad Haris’s Putra Muhammad Azizul Bahrin (114kg, 224kg) dari Perak.

Dalam pada itu, Norsiah berkata beliau yakin atlet negeri berpotensi untuk diserap masuk ke Majlis Sukan Negara, seterusnya mewakili Malaysia untuk sukan powerlifting. 

“Pemain semua duduk jauh dari tempat latihan kerana faktor tempat kerja seperti Kuala Lumpur, Kuala Pilah dan Temerloh, tetapi mereka berasal dari Negeri Sembilan serta sanggup menjalani latihan bersama meskipun hanya di ruangan parkir jadi ini bukti semangat kesukanan mereka.

“Belum ada pasukan negeri yang main kebangsaan, jadi itu sasaran saya, kami meraih empat emas daripada tujuh atlet yang bertanding sukan ini, jadi harapannya agar ia bukan hanya berakhir di Para SUKMA sahaja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan