BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tiktok Shop Catat Pertumbuhan 2.2 Kali Pada Separuh Pertama 2024

27/09/2024 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- TikTok Shop menyaksikan pertumbuhan jualan sebanyak 2.2 kali ganda, peningkatan penjual 1.8 kali ganda serta lonjakan 1.8 kali ganda pencipta ahli gabungan, tahun ke tahun bagi separuh pertama 2024.

Penyedia platform e-dagang itu berkata ini menggambarkan peralihan sikap pengguna dalam talian Malaysia, apabila pembeli mengenali jenama-jenama menerusi kandungan yang dipaparkan di platform berkenaan. 

Dalam satu kenyataan, TikTok Shop Malaysia berkata platform itu menawarkan usahawan tempatan peluang yang lebih besar untuk membina jenama yang bertahan lebih lama dengan memanfaatkan ekosistem menyeluruh “Shoppertainment” dan penyelesaian pemasaran merentasi saluran bagi memendekkan perjalanan pembelian pelanggan sambil membina nilai dalam komuniti.

Mengambil contoh penjual tempatan yang mempunyai kelainan upaya, ‘Dapur Pak Amir’, TikTok Shop menonjolkan bagaimana beliau meraih lebih 37,500 pengikut dan menjual lebih daripada 19,200 produk melalui kedainya.

"Kedainya turut menarik minat pasaran global, termasuk Jepun, Dubai, dan Amerika Syarikat," katanya.

Untuk meningkatkan lagi pertumbuhan penjual, TikTok Shop mengumumkan bahawa ia akan memberi subsidi baucar lima kali ganda dan menawarkan pendedahan trafik khusus, terutamanya semasa musim jualan akhir tahun, termasuk jualan 10.10, 11.11 dan 12.12.

“Kami telah memperkenalkan baucar penghantaran percuma tanpa had yang boleh digabungkan,  membolehkan pembeli menggabungkan berbilang diskaun dan baucar penghantaran dalam satu pembayaran, satu ciri yang dijangka memberikan nilai yang lebih besar sambil memacu penukaran dan hasil untuk penjual,” katanya.

TikTok Shop juga baru-baru ini mengadakan acara pemerkasaan penjual e-dagang tahunan utamanya, Sidang Kemuncak TikTok Shop, di Malaysia. Acara itu bertujuan untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan dengan memperkenalkan tiga tonggak penting yang membentuk masa depan beli-belah dalam talian.

Pada acara itu, TikTok Shop mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mempromosikan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ (KBBM) sebagai sebahagian daripada inisiatif #JomLokalnya.

Kempen ini dijangka memperkasakan lebih 8,000 penjual tempatan dengan menonjolkan 300,000 produk buatan tempatan melalui halaman khusus KBBM.

“Mulai sekarang hingga 31 Dis 2024, pengguna hanya perlu mencari “KBBM” di TikTok Shop untuk menyokong produk tempatan. Bagi menggalakkan rakyat Malaysia menyokong jenama tempatan, pembeli akan  menikmati diskaun sehingga 30 peratus, baucar penghantaran percuma dan sorotan daripada pencipta kandungan tempatan,” kata TikTok Shop.

Bakal usahawan, usahawan PMKS tempatan dan jenama tempatan boleh memulakan perjalanan e-dagang mereka dengan mendaftar di TikTok Shop Seller Center dan meneroka kursus tutorial langkah demi langkah di TikTok Shop Academy.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan