BELANJAWAN 2024 > BERITA

Setiap Kelemahan Pasti Ada Kelebihan - Atlet Terbaik Lelaki Para SUKMA

29/09/2024 01:12 PM

KUCHING, 29 Sept (Bernama) -- “Setiap kelemahan pasti ada kelebihan". Itulah kata-kata yang dipegang Atlet Lelaki Terbaik Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 Shahafiq Abdullah untuk terus cekal meneruskan minatnya dalam sukan renang meskipun berdepan kecacatan fizikal sejak lahir. 

Bercakap kepada Bernama, beliau yang tidak menyangka dinobatkan sebagai olahragawan di Bumi Kenyalang itu berkata anugerah tersebut merupakan suntikan buatnya untuk terus melangkah lebih jauh hingga ke persada antarabangsa dalam karier yang diminatinya itu.  

Katanya, beliau bersedia untuk membuat penampilan pertama di Sukan Para ASEAN Thailand 2025 sekiranya diberikan peluang untuk mewakili negara.

"Belum pernah berada dalam skuad kebangsaan, tapi nama saya disenarai pendek.  

"Sasaran, saya dan jurulatih saya memang nak buktikan kemampuan di Sukan Para ASEAN. Tidak mahu terlalu yakin tapi mesti nak cuba dapatkan pingat," katanya kepada Bernama selepas menerima Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA di Stadium Perpaduan semalam. 

Sementara itu, atlet Pahang Loh Chi Hui dari sukan memanah recurve menerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik.

Shahafiq meraih enam pingat (empat emas, satu perak dan satu gangsa) serta memecahkan empat rekod kebangsaan sementara Chi Hui mencatatkan satu rekod kebangsaan dengan empat pingat emas.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Shahafiq turut menyeru atlet istimewa sepertinya yang ingin menceburi bidang sukan agar tidak malu dan tabah berusaha mengejar impian mereka. 

Beliau yang mengidamkan untuk beraksi di Sukan Paralimpik satu hari nanti menjadikan perenang negara Abdul Halim Mohamad sebagai idola.

Sementara itu, Chi Hui berkata prestasi cemerlang yang ditampilkan di Para SUKMA kali ini memberikan keyakinan buatnya untuk beraksi di kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

"Untuk kejohanan kebangsaan, harap boleh sertai dan dapat keputusan yang bagus selepas ini," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan