BELANJAWAN 2024 > BERITA

Siasatan 1BestariNet: SPRM Bertemu Bekas Menteri Pendidikan

29/09/2024 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai siasatan kes projek 1BestariNet.

Mengikut sumber, pertemuan itu dibuat pegawai penyiasat minggu lepas.

"Siasatan kes ini masih dijalankan termasuk tindakan SPRM mendapatkan dokumen berkaitan dan keterangan beberapa individu," katanya kepada Bernama. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit namun enggan mendedahkan maklumat lanjut. 

Sebelum ini, Azam dilapor berkata siasatan membabitkan kes itu menumpukan kepada pembekalan data terhadap 8,000 sekolah seluruh negara sama ada ia dibekalkan mengikut spesifikasi kontrak ditetapkan.

Pada 6 Sept lepas, media melaporkan kenyataan Maszlee bahawa isu 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Siasatan ke atas projek berkenaan termasuk juga terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd  (YTL) pada 2011, dilapor dimulakan SPRM sejak 4 Sept lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan