BELANJAWAN 2024 > BERITA

Terengganu Sasar Lebih 500 Pengusaha Sektor Akuakultur Miliki Sijil MyGAP Tiga Tahun Lagi

29/09/2024 04:17 PM

KUALA TERENGGANU, 29 Sept (Bernama) -- Terengganu menyasarkan semua pengusaha sektor akuakultur di negeri ini memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim berkata ia bagi membolehkan hasil keluaran mereka dipasarkan dengan lebih meluas termasuk eksport ke negara maju.

Beliau berkata di Terengganu terdapat seramai 599 penternak termasuk ikan air tawar, ikan air payau dan udang dengan keluasan 13,035 kilometer persegi.

"Seramai 43 pengusaha sektor akuakultur sudah memiliki sijil myGAP setakat ini. Antaranya Ladang Udang Isharp Sdn Bhd di Setiu. Kita sasarkan lebih 500 penternak atau pengusaha bidang akuakultur Terengganu memiliki pensijilan itu tiga tahun lagi.

"Pensijilan ini membolehkan hasil keluaran tempatan berkembang ke tempat lebih jauh dan masuk ke pasaran antarabangsa. Ada antara pengusaha kita yang berjaya meneroka pasaran di negara Kesatuan Eropah (EU)," katanya selepas Seminar Amalan Akuakultur Baik dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Red Kenyir di sini hari ini.          

Dalam pada itu, Dr Azman berkata pihaknya juga sedang dalam proses mewartakan kawasan seluas 3,000 hektar di Tasik Kenyir sebagai zon industri akuakultur.

Beliau berkata langkah itu untuk memastikan sistem pengurusan lebih sistematik dan proses birokrasi yang lebih singkat ke arah menjadi sebuah negeri pengeluar produk akuakultur utama di Malaysia.

"Pada tahun lepas, jumlah pendaratan ternakan akuakultur di Terengganu sebanyak 5,580.17 tan, meningkat sedikit berbanding 2022 iaitu 5,550.95 tan.

"Walaupun peratusannya tidak begitu besar, sekurang-kurangnya terdapat peningkatan. Kita perlu memberi tumpuan serius kepada sektor akuakultur memandangkan hasil dari sektor marin atau tangkapan laut sudah mengalami trend yang statik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan