BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jenazah Dua Beranak Mangsa Hanyut Arus Deras Selamat Dikebumikan

29/09/2024 05:18 PM

KUALA NERANG, 29 Sept (Bernama) -- Jenazah dua beranak yang ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras akibat banjir dalam kejadian di Kampung Tanjung Kanan dekat sini semalam selamat dikebumikan 4 petang ini.

Jenazah Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya Muhammad Rosman Rohadi, 19, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah, Kampung Tanjung di sini.

Terdahulu, solat jenazah dua beranak itu diadakan di Masjid Aisyah, Kampung Tanjung pada 3 petang yang turut disertai kira-kira 200 jemaah terdiri daripada penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, bapa saudara kepada Salmah, Md Tajuddin Awang Muhammad, 47, berkata Salmah dan anaknya Muhammad Rosman tinggal berdua sahaja di rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan.

Beliau berkata hubungan kedua-dua mereka sangat rapat sehinggakan kerap dilihat bersama walau ke mana sahaja mereka pergi.

“Malah mereka masih bersama ketika dihanyutkan arus deras dan mayat mereka ditemui berhampiran antara satu sama lain iaitu pada jarak kira-kira 50 meter sahaja,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Salmah dan Muhammad Rosman dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi semalam.

Mayat Muhammad Rosman ditemui tersangkut pada pelepah kelapa sawit kira-kira pukul 5.25 petang semalam, sementara mayat Salmah dijumpai di bawah timbunan pelepah kelapa sawit pada 7.45 pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan