BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pasangan Panda Gergasi Kesayangan Kembali Ke China Selepas 13 Tahun Di Tokyo

29/09/2024 05:33 PM

TOKYO, 29 Sept (Bernama-Xinhua) -- Panda gergasi kesayangan, Ri Ri dan Shin Shin meninggalkan Zoo Ueno, Tokyo pada awal pagi Ahad untuk kembali ke negara asal, China kerana masalah kesihatan berikutan faktor usia, lapor Xinhua.

Pada Sabtu, hari tontonan awam terakhir untuk pasangan panda itu, lebih 2,000 peminat beratur sebelum pembukaan untuk mengucapkan selamat tinggal, dengan ramai yang menangis.

Panda gergasi jantan, Ri Ri dan panda gergasi betina, Shin Shin, kedua-duanya dari Wilayah Sichuan di barat daya China, tiba di Zoo Ueno pada Februari 2011 di bawah perjanjian pajakan.

Pasangan itu melahirkan panda gergasi selebriti Xiang Xiang pada 2017, yang dikembalikan ke China tahun lepas, serta anak kembar Xiao Xiao dan Lei Lei pada 2021. Ketiga-tiga panda, yang dilahirkan dan dibesarkan di zoo, menarik ramai pencinta panda dari dalam dan luar negara.

Menurut Zoo Ueno, kedua-dua panda, kini berusia 19 tahun, telah mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi kerana usia mereka yang sudah lanjut.

Pakar Jepun dan China mengekalkan komunikasi rapat dan menjalankan perundingan bersama untuk menyediakan rawatan perubatan yang sesuai.

Selepas perbincangan antara Kerajaan Metropolitan Tokyo dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China, diputuskan bahawa ia harus dihantar kembali ke China untuk penjagaan dan rawatan yang lebih baik.

Selepas pemergian pasangan itu, Zoo Ueno kini hanya memiliki dua panda, kembar Xiao Xiao dan Lei Lei.  

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan