BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia Boleh Terokai, Manfaat Teknologi AI Dari China - Fahmi

29/09/2024 05:59 PM

Daripada Hasnah Jusid

BEIJING, 29 Sept (Bernama) -- Malaysia boleh meneroka dan memanfaatkan teknologi baru muncul berasaskan kecerdasan buatan (AI) dari China untuk disesuaikan dengan keadaan di Malaysia. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata menerusi lawatan kerja beliau ke negara Tembok Besar itu, teknologi berkenaan dilihat bersesuaian untuk digunakan dalam bidang telekomunikasi, media dan penyiaran serta perfileman negara. 

“Saya nampak banyak peluang yang harus kita terokai dan manfaatkan seperti peluang untuk kita pelajari, amati, berkongsi pengalaman, dan mengambil apa yang kita rasakan sesuai di Malaysia,” katanya kepada Bernama. 

Beliau yang tiba di sini pada 26 Sept lepas mengakhiri lawatan kerjanya hari ini, dan seterusnya berlepas ke Korea Selatan bagi menyertai persidangan GSMA Mobile 360 APAC.

Fahmi berkata sebagai contoh, perjanjian usaha sama antara Altel dan Geespace yang ditandatangani di sini dalam bidang teknologi satelit khususnya direct-to-cell, boleh menjadi penyelesaian terbaik dalam membantu kesalinghubungan di kawasan-kawasan terpencil. 

Selain itu beliau berkata teknologi alih bahasa secara ‘tepat masa’ juga boleh digunakan, khususnya dalam bidang perfileman bagi menarik minat lebih ramai penonton.

Lawatan beliau ke China Media Group (CMG), yang mempelopori penyiaran definisi ultra tinggi 8K, juga memberi pendedahan baharu mengenai produksi, serta penggunaan teknologi penyiaran yang boleh dipelajari dengan memanfaatkan AI. 

Fahmi berkata menerusi lawatan itu beliau melihat banyak peluang yang berpotensi dimanfaatkan, contohnya penghasilan kandungan yang boleh ‘dieksport’ ke China seperti mikro drama berdurasi kurang seminit yang semakin diminati penduduk negara itu.

Sehubungan itu beliau mahu agensi media khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), mempercepat penghasilan kandungan dan pelaporan bagi mempromosi keunikan negara ini, sekali gus menarik kedatangan pelancong dari China.

Semasa di China, Fahmi mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pentadbiran Radio dan Televisyen (NRTA) China Cao Shumin serta Menteri Industri dan Teknologi Maklumat Jin Zhuanglong. 

Menerusi pertemuannya dengan Cao, kedua-dua pihak turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam bidang media dan penyiaran, melibatkan pertukaran kandungan berbentuk pelancongan, makanan dan budaya serta ekonomi. 

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih negara (MNO) dengan syarikat telekomunikasi China yang bertujuan menyediakan penyelesaian teknologi secara menyeluruh seperti liputan mudah alih pantas menerusi rangkaian 5G.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan