BELANJAWAN 2024 > BERITA

Mosque Trail Ukhwah Ride : Berkonvoi Sambil Cuci Masjid

29/09/2024 07:11 PM

IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Berkonvoi, mempromosikan pelancongan sambil beramal mencuci masjid, itu antara pengisian program Mosque Trail Ukhwah Ride 2024 yang disertai kira-kira 250 pemilik skuter, motosikal berkuasa tinggi serta kenderaan rekreasi.

Program itu anjuran Tourism Perak dengan kerjasama Islamic Tourism Centre, Persatuan Jom Cuci Masjid (JCM) dan Jawatankuasa Masjid Jamek Keledang Jaya.

Pengerusi Sifu Bikerz Hanafiah Abdul Malek berkata usaha yang dilakukan itu bagi mendekati masyarakat di sekitar masjid yang dilawati, selain mengukuhkan ukhwah sesama Islam.

“Menerusi program ini, peserta konvoi bersama pihak penganjur, masyarakat setempat dan sukarelawan bekerjasama membersihkan kawasan sekitar masjid.

“Kami mahu terapkan peserta konvoi walaupun dalam kita bersuka ria menunggang motosikal namun jangan sesekali kita lupakan Allah SWT, dekatkan diri dengan masjid selain memberi sumbang bakti kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina di Taman Tasek Jaya di sini.

Program itu dimulai dengan sesi ‘Solat Subuh seperti Solat Jumaat’ di Masjid Jamek Keledang Jaya dan kemudian peserta konvoi menuju Masjid Sultan Idris Shah II, serta singgah ke Masjid India Muslim di sekitar Ipoh.

Ketua Pegawai Operasi Tourism Perak Zuraida Md Taib berkata program itu, merupakan antara inisiatif untuk mempromosikan sektor pelancongan melalui sukan bermotor.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan pengisian bagi Kempen Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 dan Bulan Pelancongan Islamik, selain mempromosikan penerbitan risalah pelancongan Perak Mosque Trail dan Perak Bikers Trail.

“Program ini bukan sahaja mempromosikan keindahan pelbagai masjid di Perak, malah turut mempromosikan produk pelancongan, makanan dan kemudahan baharu yang disediakan kerajaan negeri. 

“Kita harapkan program ini dapat mencapai hasrat dan objektif untuk menarik lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa ke Perak, sempena TMP 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan