BELANJAWAN 2024 > BERITA

Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang Catat 300,000 Pengunjung - PETRA

29/09/2024 08:03 PM

MIRI, 29 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang yang diadakan di sini selama tiga hari bermula Jumaat, mencatatkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan memaklumkan program yang diadakan di pekarangan sebuah pusat beli belah di sini, turut mencatatkan rekod nilai jualan mencecah RM500,000 untuk tempoh dua hari pertama penganjurannya.

Kenyataan itu memaklumkan rekod nilai jualan tersebut, dicatat menerusi Jualan Agro dan Usahawan MADANI, Jualan Rahmah MADANI, Sarawak Kitchen, trak makanan, Telco Rahmah dan Coffee Corner.

“Penganjuran PMR kali ini berjaya mencapai tujuan mendedahkan dan memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam mendepani isu kos sara hidup serta agenda negara dalam memperkasa golongan belia,” menurut kenyataan itu.

PMR 2024 Sarawakku Sayang dianjurkan PETRA sebagai kementerian peneraju bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri serta Kerajaan Sarawak.

Dengan hasrat untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat, PMR 2024 Sarawakku Sayang membawakan lebih daripada 200 perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan Sarawak, secara langsung kepada rakyat.

Pada majlis perasmian semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan penyampaian sumbangan program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) kepada penerima daripada komuniti setempat yang terlibat dalam lima sektor tumpuan.

Sektor terlibat terdiri daripada pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti; serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Menerusi inisiatif SejaTi MADANI ini, kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi manfaat kelompok komuniti berkelayakan di seluruh negara.

Turut dilancarkan ialah nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri PETRA, di mana bidaannya dibuka secara dalam talian di sistem JPJeBid bermula pada 28 Sept dan berakhir pada jam 10.00 malam 2 Okt ini.

Perdana Menteri turut menyempurnakan simbolik penyerahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi pembayaran semua peringkat penerima tanpa akaun bank yang melibatkan 28,944 penerima di 30 lokasi pedalaman di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan