BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden WFM Optimis Wushu Sumbang Emas Sukan SEA 2025 Di Thailand

21/11/2024 03:11 PM

SEREMBAN, 21 Nov (Bernama) -- Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) konsisten bagi memastikan sukan berkenaan menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand, kata Presidennya Datuk Chong Kim Fatt.

Chong berkata pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan persiapan rapi atlet yang telah dilakukan sejak bulan lepas, selain pemilihan atlet ke temasya sukan berkenaan sudah selesai didrafkan.

“Untuk Sukan SEA, kita masih sasarkan satu emas, dulu di Kemboja (Sukan SEA) dan Vietnam ada 21 acara, sekarang dikurangkan kepada 14 atau 15 acara. Sedikit kelam kabut kerana Thailand menukar kepada format baharu.

“Bagaimanapun, saya akan keluarkan surat kepada IOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) untuk memohon Thailand guna format lama, kerana format baharu akan menyusahkan atlet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Sijil Pencapaian Ahli Pasukan Wushu Negeri Sembilan di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, beberapa atlet yang berjaya di pentas antarabangsa turut membuat persembahan termasuk Ng Yu Xuan, Wong Zi Hong, Pang Pui Yee, Calvin Lee Wai Leong dan Wong Weng Son.

Chong berkata pihak berkaitan seperti Kementerian Belia dan Sukan perlu terus memberikan sokongan untuk membangunkan sukan berkenaan di negara ini, sekali gus melahirkan pelapis baharu termasuk penambahan geran bagi mengadakan pelbagai program.

Sementara itu, Weng Son, 32, yang ditemui selepas itu berkata beliau berpuas hati dan tiada penyesalan selepas membuat keputusan bersara setelah meraih pelbagai kejayaan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 22 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.

“Saya tak sangka sepanjang karier saya ini, saya boleh mencapai tahap ini. Saya rasa bersyukur, apa yang ada sekarang bukan usaha saya seorang tapi bantuan Datuk (Chong) dan rakan-rakan. Setakat ini belum ada perancangan masa depan, hanya mahu berehat dahulu.

“Bagaimanapun saya memang minat sukan permotoran, mungkin selepas ini saya boleh terlibat dengan sukan itu pula, tetapi ia memerlukan kewangan yang tinggi,” kata juara dunia dua kali yang berasal dari Seremban itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan