BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pendapatan Selangor Tidak Hanya Bergantung Kepada Hasil Tanah - Amirudin

22/11/2024 08:45 PM

SHAH ALAM, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor sentiasa berusaha menambah hasil negeri menerusi pengenalan pelbagai dasar dan formula baharu dalam menjamin kemampanan pendapatan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Amirudin berkata pentadbirannya tidak hanya bergantung kepada hasil tanah dan sumbangan daripada kerajaan Persekutuan dalam menambah hasil negeri seperti yang didakwa, sebaliknya pendapatan turut dijana daripada sumber lain seperti menerusi anak syarikat milik kerajaan negeri.

Beliau berkata sumbangan anak syarikat kepada kerajaan negeri setakat ini telah mencapai RM30 juta dengan tambahan RM10 juta lagi dijangka diterima sebelum akhir tahun ini.

“Sebelum ini, kita tak pernah menerima (hasil) daripada Koridor Utiliti Selangor (Kusel) tetapi tahun ini Kusel buat kali pertama akan menyumbang RM1 juta setelah kita membenarkan perkara “bawah tanah” setelah kita kelaskan dan lesenkan. 

“Kita juga memperoleh hasil daripada Dasar Pelepasan Sifar (ZDP), dengan anggaran keseluruhan mencapai RM121 jika sasaran dapat capai. Setakat ini, kita telah menerima RM18 juta tahun ini dan dijangka menerima lebih lagi...kutipan pertama kita pada Nov 2024 mencecah RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Sementara itu, Amirudin turut berkongsi aspirasi Selangor untuk mempelopori dalam membangunkan industri berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang tersendiri, sekali gus menjadi peneraju dalam inovasi teknologi berkenaan di Malaysia. 

Beliau berkata bagi tujuan tersebut, satu perbincangan sedang dijalankan dengan Nvidia, sebuah syarikat teknologi dan semikonduktor terkemuka dunia bagi menghasilkan AI berdaulat. Selain itu, kertas putih AI juga akan dikemukakan, yang antara lain meliputi usaha untuk meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan pada sidang DUN tahun hadapan. 

Amirudin berkata langkah itu bagi memastikan Selangor tidak bergantung dengan AI negara lain, sebaliknya boleh menentukan sendiri data, pengenalan atau tidak terikat dengan sudut pandang negara tertentu yang menguasai teknologi berkenaan.

“AI berdaulat ini maksudnya AI itu milik negeri atau negara itu sahaja. Jadi kita sedang adakan pertemuan dengan Nvidia kerana kita tidak boleh bergantung dengan AI negara lain,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan