BELANJAWAN 2025 > BERITA

Syarikat Telco Utama Tawar Pakej Internet, Peranti Menarik Sempena Program 2TM

23/11/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pelbagai pakej Internet dan peranti menarik ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi utama pada Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya telah meminta syarikat-syarikat berkenaan membuka reruai di program tersebut, yang bertujuan memberi peluang kepada pengguna atau pengunjung memilih pakej-pakej yang menarik dan mampu milik.

“Kementerian ada fokus sendiri, kita minta lima syarikat telekomunikasi utama membuka ruang pameran. Mereka juga menyediakan pakej khas termasuk harga peranti yang lebih murah, pakej yang menawan, jadi kita menjemput orang ramai untuk dapatkan pakej-pakej Internet yang menarik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau bilik media program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus serta Editor Eksekutif Bernama Mohd Haikal Mohd Isa.

Sementara itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata setakat hari ini program itu berjalan lancar dengan semua kemudahan dan keselesaan disediakan kepada pengamal media yang membuat liputan.

“Saya difahamkan hampir 100 petugas media telah berdaftar untuk membuat liputan pada tiga hari program berlangsung. 

“Selain itu, berdasarkan maklum balas, saya juga dimaklumkan kaunter yang paling mendapat perhatian adalah pertukaran topi keledar lama ke baharu, dan juga pencetakan semula salinan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang boleh didapati dengan hanya RM10,” katanya.

Semalam Bernama melaporkan buat julung kalinya orang ramai boleh mendapatkan salinan keputusan SPM yang hilang atau gantian sijil pada kadar RM10 pada program itu.

Seorang petugas MyStep Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Muhammad Zairil Aiman Yusri berkata, harga asal bagi penggantian sijil peperiksaan itu ialah RM30 dan 'kadar istimewa' itu hanya berlangsung hingga hari terakhir program Ahad ini. 

Beliau berkata mereka yang menduduki SPM pada 1994 ke atas, mereka layak menikmati tawaran ini dengan hadir terus ke kaunter perkhidmatan KPM di program 2TM bagi mendapatkan sijil SPM, dengan hanya mengemukakan kad pengenalan. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan