KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus menumpukan inisiatif membangunkan negara dan tidak melayani kenyataan picisan yang tidak membantu ke arah usaha tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan akan terus memfokuskan kepada agenda pembangunan negara, memperkukuh ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.
“Kita diiktiraf bukan kerana Perdana Menteri tetapi kerana negara ini aman, negara ini pacu pertumbuhan dan pasukan itu bersuara dengan sederap satu nada.
“Kalau sebut permasalahan Gaza dan Palestin, suara kita didengar, tapi sementara satu dunia iktiraf, masih ada suara keliru (seolah-olah) menyokong Israel,” kata beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan melaksanakan program secara telus dan bersih.
Mengambil contoh lawatan beliau baru-baru ini, Anwar berkata kerajaan menganjurkan syarikat swasta yang berpotensi melabur serta sedang melabur untuk menyertai rombongan, sekali gus membayar kos.
“Mereka menyertai rombongan dan bayar kos. Itu pun jadi salah?. Jadi negara ini, kalau kita layan sangat, yang curi, yang rompak dan yang sakau itu dipuja.
“Tetapi yang kita cuba jalankan program secara bersih itu dicerca,” kata beliau dan menambah antara syarikat menyertai rombongan itu ialah Petronas, Proton dan syarikat semikonduktor.
Terdahulu, Anwar serta dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia.
Deklarasi yang dilancarkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 hari ini, dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri, mencerminkan komitmen penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial