BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penanaman Cendawan Tiram Guna Teknologi IoT Tingkat Pendapatan B40 Di Perlis

23/11/2024 04:37 PM

ARAU, 23 Nov (Bernama) -- Projek penanaman cendawan tiram menggunakan teknologi internet benda (IoT) hasil kepakaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meningkatkan pendapatan golongan B40 di Perlis.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata projek ‘Driven for Community’ (D4C) bermula 2021 di bawah Geran Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) itu melibatkan 24 peserta dari Arau, Kangar dan Padang Besar.

Beliau berkata teknologi IoT membantu peserta memantau dan mengawal kadar kelembapan, suhu serta wap air dalam rumah cendawan secara optimum.

“Ini penting kerana cuaca di Perlis sangat ekstrem dan teknologi ini membantu meningkatkan pengeluaran sehingga mencapai jangkaan 480 kilogram cendawan sehari," katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran projek itu di sini hari ini.

Peluncuran projek kerjasama UniMAP, TERAJU dan Kementerian Ekonomi itu disempurnakan Pengarah Kanan Bahagian Penyampaian Strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Mohd Najib Jaafar.

Zaliman berkata hasil penyelidikan UniMAP, peserta berjaya meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran cendawan sebanyak lebih 30 peratus dan ia dijangka meningkat sehingga 60 peratus pada masa akan datang.

“Selain itu, tempoh penuaian juga dapat dipendekkan daripada tiga bulan kepada dua bulan sekali gus memberi peluang kepada peserta memperoleh pendapatan sampingan antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap kali tuaian,” katanya.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja tertumpu kepada penanaman cendawan tiram segar malah menyumbang kepada penghasilan produk hiliran seperti 'patty' berasaskan cendawan manakala bongkah sisa cendawan dikitar semula menjadi baja organik.

Sementara itu, Mohd Najib berkata inisiatif itu memberikan impak besar dalam skop keusahawanan sosial selain dapat mengukuhkan kerjasama antara UniMAP dengan TERAJU serta pihak industri.

“Ia bukan sekadar membantu meningkatkan pendapatan peserta, tetapi juga membolehkan mereka berdaya saing dalam ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan