BELANJAWAN 2025 > BERITA

Serangan Ke Atas Hospital Di Utara Gaza Tunjukkan Sikap Tidak Berperikemanusiaan Israel - Hamas

24/11/2024 01:09 AM

BANDARAYA GAZA, 23 Nov (Bernama-AA) -- Hamas mengutuk pada Sabtu serangan berulang Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, menyifatkannya sebagai “penghinaan yang memalukan terhadap kemanusiaan dan norma antarabangsa,” lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang Palestin itu menyeru masyarakat antarabangsa mengenakan “sekatan tegas” ke atas Israel.

Hamas mendakwa tentera Israel melakukan “genosid secara sistematik” di utara Gaza, termasuk “serangan berturut-turut ke atas Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia.”

Kumpulan itu turut mengecam “kempen genosid, pembersihan etnik, dan pengusiran paksa terhadap orang awam di utara Gaza serta taktik kebuluran yang menyasarkan dua juta penduduk di wilayah itu,” yang dilakukan Israel secara berterusan dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai “penghinaan terhadap kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.”

Hamas meminta masyarakat antarabangsa untuk “melaksanakan langkah-langkah yang menghukum terhadap pihak Israel bagi menghentikan pencerobohan dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan.”

Terdahulu, Pengarah Hospital Hussam Abu Safiya, menyifatkan serangan pada Jumaat sebagai “satu lagi episod hitam dalam siri pengeboman berterusan.”

Serangan yang berlangsung dari tengah hari hingga tengah malam itu menyasarkan “kawasan penerimaan kecemasan, pintu masuk, kawasan lapang, dan generator,” menyebabkan 12 kecederaan, termasuk kalangan doktor, jururawat, dan staf pentadbiran.

Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, mengakibatkan lebih 44,000 kematian, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,000 orang.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis mengumumkan  bahawa ia telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas Gaza.

-- BERNAMA-AA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan