BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Perkukuh Kerjasama Dalam Sektor Semikonduktor Di Peringkat Global

25/11/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (BERNAMA) -- Malaysia mengukuhkan hubungan dengan pasaran antarabangsa untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan semikonduktor global terutamanya apabila lebih banyak dasar perlindungan dijangka diambil selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia telah bekerja keras untuk membina hubungan antara industri semikonduktor Malaysia dan industri semikonduktor Brazil melalui lawatan kerja Anwar ke negara Amerika Latin itu baru-baru ini.

“Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) juga sedang berbincang dengan rakan sejawatannya di Belanda manakala kerajaan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam industri semikonduktor.

“Kami turut mengadakan perbincangan serius dengan Arab Saudi. Ini adalah strategi...supaya kita dapat mengelak gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya kepada pemberita di luar Forum Elektrik dan Elektronik Kebangsaan (E&E) MSIA 2024 di sini hari ini.

Liew berkata sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, Malaysia memegang tujuh peratus bahagian pasaran global dan menyumbang kepada 23 peratus perdagangan semikonduktor AS pada 2022.

"Seluruh dunia masih mengeksport ke AS dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan AS,” katanya.

Trump bakal mengangkat sumpah bagi sebagai Presiden AS ke-47 pada 20 Januari, tahun depan.

Ketika menjadi Presiden AS ke-45 dari 2017 hingga 2021, beliau melaksanakan tarif dengan pantas untuk melindungi ekonomi AS dan menangani ketidakseimbangan perdagangan.

Ditanya mengenai adakah penurunan bilangan eksport semikonduktor akan berkurangan ke AS disebabkan oleh dasar perlindungan tersebut, Liew berkata: “Kerajaan akan memantau keadaan berkenaan dari semasa ke semasa”. 

Sementara itu, Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata persatuan itu menjangkakan industri itu akan mencapai pertumbuhan satu digit tahun depan, dipacu oleh trend ekonomi global.

“Kami telah menerima pelaburan E&E yang kukuh tahun ini. Eksport E&E kami untuk 10 bulan pertama bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024 berjumlah RM491 bilion, meningkat 1.5 peratus berbanding tahun lepas. Saya masih berharap ia akan mencecah RM600 bilion,” katanya semasa ucapan perasmian pada forum tersebut.

Dilaporkan bahawa jualan semikonduktor global merosot 8.2 peratus kepada US$527 bilion (US$1 = RM4.47) pada 2023 manakala eksport sektor E&E Malaysia menurun sebanyak 3.0 peratus tahun lepas kepada RM575.45 bilion selepas mencatatkan pertumbuhan 30 peratus kepada RM593 bilion pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan