BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
ISKANDAR PUTERI, 26 Nov (Bernama) -- Pekerja beragama Islam yang berdepan isu diskriminasi untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat bermula 1 Jan tahun depan diminta membuat aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata justeru itu, majikan yang ingkar dengan tidak memberi waktu rehat mencukupi pada setiap Jumaat, boleh dikenakan tindakan.
“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja mereka disusahkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Jan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Pada 7 Okt lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 di Johor mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan DUN Khamis lepas memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Jan tahun depan berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.
Sementara itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah berkata sejumlah 26 sekolah di negeri ini melibatkan 15 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan 11 sekolah di bawah JAINJ dikesan berdepan kesukaran untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari persekolahan.
“Sekolah ini telah memohon kebenaran Jabatan Mufti Johor agar surau mereka atau surau kariah berhampiran dinaik taraf menjadi Surau Jumaat. Sebagai langkah penyelesaian, Jabatan Mufti Johor juga telah mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah-Sekolah.
“Ia melibatkan sekolah yang jaraknya melebihi radius 3 kilometer dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai dan sekolah tidak mempunyai penempatan penduduk serta kemudahan menunaikan solat Jumaat di kawasan sekitar,” katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata bagi memastikan pelajar lelaki beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat maka JPNJ dan JAINJ bersama Jabatan Mufti Johor akan menambah bilangan surau termasuk dewan di sekolah bagi pelaksanaan solat Jumaat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial