BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hibiscus Petroleum Jangka Pendapatan Daripada Pengambilalihan TotalEnergies Mulai 2025

26/11/2024 04:10 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pengambilalihan Hibiscus Petroleum Bhd terhadap TotalEnergies di Brunei dijangka mula memberi sumbangan kepada pendapatannya bermula dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, kata Pengarah Urusannya Dr Kenneth Pereira.

Beliau berkata pengambilalihan itu membawa manfaat yang besar kepada pengendali minyak dan gas huluan termasuk peningkatan pengeluaran gas serta penilaian syarikat yang lebih baik.

"Sebelum pengambilalihan TotalEnergies, campuran pengeluaran kami adalah 36 peratus gas dan 64 peratus minyak serta pemeluwapan.

"Selepas pengambilalihan, ia telah beralih kepada 49 peratus gas dan 51 peratus minyak serta pemeluwapan. Ini selaras dengan strategi peralihan tenaga kami, di mana kami bermatlamat untuk lebih menumpukan kepada gas."

"Kami mencapai kemajuan yang mantap ke arah itu dan aset di Brunei memainkan peranan penting dalam perjalanan ini. Selain itu, intensiti gas rumah hijau (GHG) untuk aset ini adalah sekitar 11 kilogram (kg) karbon dioksida bagi setiap tong yang dihasilkan, yang jauh lebih rendah daripada purata global iaitu 18 kg," katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini. 

Pada 14 Oktober lepas, Hibiscus Petroleum telah melengkapkan pengambilalihan kepentingan yang dikendalikan sebanyak 37.5 peratus milik TotalEnergies EP (Brunei) BV dalam bidang Blok B Maharajalela Jamalulalam (MLJ).

Aset gas berkualiti tinggi ini yang terletak di luar pesisir Brunei merupakan tambahan berharga kepada portfolio Hibiscus Petroleum.

Dengan pengambilalihan ini, Hibiscus Petroleum kini memegang saham sebanyak 37.5 peratus dan mengambil alih peranan sebagai pengendali bagi medan gas tersebut. 

Sebagai sebahagian daripada pengambilalihan ini, TotalEnergies EP Brunei telah secara rasmi beralih kepada nama entiti undang-undang baharu iaitu Hibiscus EP (Brunei) B.V.

"Langkah pertama adalah untuk menstabilkan keseluruhan operasi kami (di Brunei) sambil membina hubungan dengan kerajaan Brunei, pengawal selia serta komuniti minyak dan gas," katanya.

Pereira menekankan hampir 84 peratus pengeluaran dari medan MLJ adalah gas.

Selepas transaksi ini, katanya, kumpulan telah mencapai peningkatan sebanyak 34 peratus dalam pengeluaran harian, menjadikannya kira-kira 28,000 tong minyak bersamaan setiap hari.

Setakat 1 Julai 2024, Hibiscus Petroleum memiliki kira-kira 78 juta tong minyak bersamaan rizab 2P.

"Ini (medan MLJ) adalah aset gas yang menjana tunai dan dilengkapi dengan pengendalian selain membolehkan kami mengurus medan secara langsung.

"Aspek ini sangat menarik bagi kami. Selain itu, tempoh konsesi ini berlangsung sehingga 2029, dengan pilihan bagi rakan kongsi semasa untuk melanjutkannya lagi selama 10 tahun, menjadikannya hingga 2039. Ini memberikan kami laluan yang panjang dan menjanjikan pada masa hadapan," jelas Pereira.

Beliau juga berkata Hibiscus Petroleum sedang menilai kemungkinan bekerjasama dengan TotalEnergies Brunei untuk bersama-sama membangunkan kemudahan solar 13 megawatt bagi menyokong aset tersebut.

"Kami sedang menilai peluang ini dengan teliti untuk memastikan ia selaras dengan matlamat jangka panjang dan kami yakin dengan andaian asas yang ada. Ia sememangnya merupakan prospek yang sangat menarik," katanya.

Selain daripada medan MLJ di Brunei, Hibiscus Petroleum juga mengekalkan kehadiran antarabangsa yang kukuh dengan aset di Australia, Vietnam dan United Kingdom.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan