BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cuba Rancang kerjasama Bioteknologi, Farmaseutikal Dengan Malaysia

26/11/2024 04:15 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah & Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Cuba dan Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dalam bidang bioteknologi dan farmaseutikal terutama dalam penghasilan vaksin termasuk vaksin halal yang akan memenuhi keperluan demografi tempatan, kata Duta Cuba ke Malaysia Florentino Batista Gonzalez.

Beliau berkata Havana turut berharap kepimpinan Kuala Lumpur sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan dapat membantu negara Amerika Latin itu menggunakan Malaysia sebagai landasan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, terutama bagi produk dan perkhidmatan perubatannya.

 Cuba yang terkenal dengan cerut mengeskport bernilai US$478 juta pada 2023 melibatkan jenama seperti Habanos, Cohiba, Partagas dan Monte Cristo dengan harga premium di seluruh dunia, menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1975.

Dalam temubual dengan Bernama pada Isnin, beliau berkata bioteknologi dan farmaseutikal adalah dua sektor paling berpotensi untuk kerjasama lebih besar berikutan kesukaran yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 untuk mendapatkan vaksin dengan segera serta kejayaan kerjasama dan pengalaman kedua-dua negara dalam menghasilkan vaksin halal bagi meningitis.

Menurutnya Cuba telah menghasilkan lima vaksin bagi COVID-19.

Gonzalez berkata Cuba boleh memanfaatkan kekuatan teknologi Malaysia dalam kedua-dua sektor berkenaan berikutan usaha Malaysia untuk menghasilkan produk farmaseutikalnya sendiri seperti vaksin, sebagai langkah yang membolehkan Kuala Lumpur tidak bergantung kepada pihak ketiga.

"Malaysia telah banyak melabur banyak dalam tempoh 10 tahun lepas, atau mungkin lebih daripada itu untuk membina kemudahan, melatih tenaga kerja serta mewujudkan kurikulum di universiti untuk mencapai matlamat itu (menghasilkan vaksin), tetapi ia masih merupakan satu matlamat yang perlu dicapai.

"Sehubungan itu, kami telah melepasi kemuncaknya, dan kami berpendapat berupaya membantu Malaysia menerusi pengurangan kitaran, dengan menawarkan produk siap yang boleh dibawa kepada fasa terakhir pendaftaran dan menjadi harta intelek tempatan, dengan pemindahan teknologi," katanya.

Gonzalez berkata Malaysia mempunyai kemahiran yang kukuh dalam bioteknologi bukan sahaja melalui syarikat seperti Bioeconomy Corporation, malah di universitinya untuk menghasilkan produk perubatan serta terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau berkata vaksin meningitis yang telah ada di Cuba adalah tidak halal.

Vaksin halal berjaya dihasilkan melalui R&D antara Universiti Sains Malaysia dan Finlay Institute, Cuba.

“Kami juga mempunyai produk yang sangat berhasil digunakan di Amerika Latin dan beberapa negara di Eropah yang sedang dalam proses pendaftaran di Amerika Syarikat untuk merawat luka diabetes pada peringkat akhir.

"Produk ini digunakan untuk merawat ulser di kaki sekali gus dapat mengelak amputasi terhadap pesakit diabetes peringkat empat," kata Gonzalez.  

Beliau berkata masalah diabetes semakin meningkat di seluruh dunia, tidak terkecuali di Malaysia. Produk tersebut bukan sahaja dapat digunakan di sini tetapi juga boleh disesuaikan dengan keperluan khusus dan tempatan.  

Setiap negara termasuk Malaysia harus mencari penyelesaian tersendiri dalam menguruskan wabak dan pandemik dan Cuba bersedia untuk membantu dalam hal ini, kata Gonzalez.

"Keupayaan seperti ini yang perlu kita tingkatkan, lebih-lebih lagi apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan dunia bakal berdepan pandemik baharu pada bila-bila masa sahaja. 

"Justeru itu, apa yang paling penting bagaimana anda membina keupayaan dan pendekatan bagi mengharungi cabaran ini," katanya.

 

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN

 

Susulan Malaysia yang secara rasmi menyandang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025, Gonzalez berharap kepimpinan negara ini menyediakan pintu masuk kepada negaranya untuk eksport ke pasaran serantau. 

Sebagai contoh kerjasama dengan Malaysia diperlukan untuk mengeksport perubatan, farmaseutikal dan peranti perubatan kerana ia dilihat sebagai pengesahan kepada Cuba untuk menembusi pasaran serantau yang lain.

"Ini bermaksud, jika Cuba mampu mencapai persetujuan bersama dengan Malaysia, ia akan menjadi titik permulaan yang baik untuk meneruskan dan mempercepat keseluruhan proses pendaftaran vaksin dan produk serta pengkomersialan di semua negara ASEAN.

"Kepimpinan Malaysia dilihat berupaya dalam melaksanakan rundingan 'aspek pelbagai hala seperti ini' dan oleh itu boleh menjadi rakan kerjasama, bukan sahaja dengan Cuba, tetapi seluruh negara Amerika Latin dalam mengakses pasaran ASEAN," kata Gonzalez.

Beliau berkata pada masa ini perdagangan dua hala adalah kecil, dengan Cuba mengimport getah, minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik serta produk teknologi kecil lain.

“Ini satu daripada cabaran terbesar dalam hubungan dua hala, yang diharap dapat mengubah jalinan muhibah antara kedua-dua negara menjadi hubungan ekonomi yang mampan dan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan