BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
ISKANDAR PUTERI, 26 Nov (Bernama) -- Pemilik, pekerja dan pelanggan lelaki beragama Islam di negeri ini wajib meninggalkan urusan jual beli termasuk di premis makanan ketika waktu solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah itu bagi memastikan setiap lelaki Muslim menunaikan kewajipan berkenaan.
“Orang yang kena tinggalkan urusan jual beli adalah lelaki Muslim, maka orang ini jangan berniaga, jangan bekerja dan jangan masih makan ketika masuknya waktu solat Jumaat tetapi kelonggaran diberi kepada bukan Islam dan wanita.
“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melakukan penguatkuasaan bagi memastikan semua individu lelaki beragama Islam di Johor menunaikan solat Jumaat,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan DUN Khamis lepas memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Jan berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.
Sementara itu, Mohd Fared berkata kerajaan negeri bersedia menerima pandangan ibu bapa mengenai pakaian murid sekolah agama pada setiap Jumaat berikutan penyelarasan semula cuti hujung minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan.
“Mungkin ada pihak berpendapat susah menukar uniform sekolah agama pada hari Jumaat dan mahu mengenakan pakaian sama seperti sekolah kebangsaan. Bagi saya itu tidak jadi masalah dan kita sedia terima sebarang cadangan kerana apa yang penting mereka hadir ke sekolah dan menunaikan solat Jumaat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial