BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indeks Harga Pengeluar Terus Turun 2.4 Peratus Pada Oktober 2024

27/11/2024 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia, yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, terus turun 2.4 peratus pada Oktober 2024, berbanding 2.1 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata seiring bulan sebelumnya, penurunan ini terutamanya disebabkan oleh sektor perlombongan yang turun 17.3 peratus (September 2024: -16.1 peratus).

“Indeks bagi kedua-dua pengekstrakan petroleum mentah dan pengekstrakan gas asli masing-masing turun sebanyak 21.7 peratus dan 1.7 peratus.

"Selain itu, sektor pembuatan juga turun 2.6 peratus (September 2024: -1.5 peratus), terjejas oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-21.6 peratus)," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 13.8 peratus (September 2024: 5.8 peratus), dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan 24.3 peratus.

"Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air meningkat 6.9 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 0.8 peratus," kata Mohd Uzir.

Pada asas bulanan, beliau berkata IHPR bagi pengeluaran tempatan menurun 0.7 peratus pada Oktober 2024 (September 2024: -1.5 peratus). 

Semua sektor mencatatkan penurunan kecuali sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, yang meningkat sebanyak 6.0 peratus (September 2024: 1.6 peratus), disumbangkan oleh pertumbuhan indeks tanaman kekal (9.0 peratus).

Melihat kepada negara terpilih, Mohd Uzir berkata indeks harga pengeluar Amerika Syarikat meningkat 2.4 peratus pada bulan ini berbanding 1.9 peratus pada September 2024, disebabkan terutamanya oleh indeks permintaan akhir.

Indeks harga pengeluar Jepun terus meningkat 3.4 peratus, berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kos pertanian, perhutanan dan produk perikanan, katanya.

Mengulas mengenai harga komoditi Malaysia yang terpilih, beliau berkata menurut Bank Dunia, harga komoditi dijangka mengalami penurunan 5.0 peratus pada 2025, diikuti dengan penurunan 2.0 peratus pada 2026.

Unjuran ini terutamanya dipengaruhi oleh jangkaan kejatuhan harga minyak, walaupun ia disederhanakan oleh kenaikan harga gas asli, katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata purata harga minyak sawit mentah di Malaysia yang berlegar sekitar RM4,400 satu tan pada Oktober 2024, meningkat daripada purata harga RM4,000 pada bulan sebelumnya.

"Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyifatkan kenaikan ini disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran dan penurunan dalam inventori minyak sawit Malaysia.

"Ini termasuk tahap inventori minyak sawit di India yang merupakan pengimport terbesar dunia dan trend global dalam pengeluaran dan penggunaan minyak sayuran pada tahun 2025," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan