BELANJAWAN 2025 > BERITA

PPS Dibuka Di Mengkebang, Mangsa Tidak Lagi Menumpang Di Rumah Saudara

29/11/2024 01:06 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KUALA KRAI, 29 Nov (Bernama) -- Jika sebelum ini, kebanyakan mangsa banjir di Kampung Batu Mengkebang terpaksa menumpang di rumah keluarga, sanak-saudara, atau jiran tetangga setelah kediaman mereka dinaiki air.

Namun, dengan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Sumber Batu Mengkebang yang pertama kali digazetkan, penduduk yang terkesan akibat banjir kini dapat merasakan kelegaan kerana tidak perlu lagi bersusah payah mencari tempat untuk berteduh.

Peniaga, Mohamad Abdullah, 46, berkata rumahnya yang sering dilanda banjir saban tahun kerana kedudukannya yang berhampiran dengan sungai. Setiap kali banjir, beliau terpaksa berpindah ke rumah keluarga untuk sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Apabila hujan, paras air sungai dekat rumah saya naik dengan cepat dan deras sehingga menyebabkan saya sekeluarga perlu segera berpindah ke tempat lain.

"Sebelum ini, saya tumpang rumah ayah, Abdullah Noh, 84, kerana tempat dia tinggi dan bebas banjir, tetapi tahun ini, Alhamdulillah saya dapat ke PPS Pusat Sumber Batu Mengkebang, kerana mula dibuka kepada penduduk yang terkesan banjir," katanya kepada Bernama hari ini.

Petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Fazzhana Aziz, 48, pula berkata penempatan PPS yang berdekatan dengan penduduk sangat diperlukan dan membantu mangsa banjir untuk mendapatkan tempat perlindungan.

"Ramai yang berpindah di sini disebabkan rumah  mereka berdekatan dengan sungai dan apabila banjir berlaku mereka terpaksa berpindah ke rumah keluarga atau sanak-saudara, jadi apabila PPS ini mula buka, saya berasa sangat bersyukur, malah kemudahan yang disediakan cukup selesa dan bersih.

Pusat Sumber Batu Mengkebang merupakan antara 221 PPS yang dibuka seluruh Kelantan dengan menempatkan seramai 67 orang daripada 21 keluarga setakat pukul 9 pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan