BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peruntukan Belanjawan 10 Kementerian Lulus Di Peringkat Jawatankuasa

29/11/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Peruntukan bagi 10 kementerian lagi diluluskan di peringkat jawatankuasa pada minggu ketujuh persidangan Dewan Rakyat, setelah Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi setiap kementerian itu selesai dibahas dan digulung serta melalui pengundian secara suara majoriti. 

Kementerian terlibat adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Komunikasi; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Digital.

Peruntukan belanjawan bagi empat kementerian lagi dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada minggu depan iaitu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementeri Pertahanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dalam pada itu, perhatian turut tertumpu kepada kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri selepas kembali daripada lawatan rasmi ke Korea Selatan.

Antara isu yang disentuh Perdana Menteri melibatkan Monsun Timur Laut (MTL) serta pendirian Malaysia dalam menyuarakan keadilan buat rakyat Palestin.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi terlibat dalam membuat persiapan menghadapi MTL, yang disifatkannya lebih baik tahun ini.

Beliau berkata bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diarahkan untuk memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera, termasuk agensi Persekutuan dan negeri, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir terpelihara.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata walaupun pertimbangan ekonomi amat penting namun ia tidak akan mengurangkan atau mengekang pendirian Malaysia dalam menyuarakan tuntutan dan keadilan buat rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat akan terus menyuarakan pendirian dalam isu-isu antarabangsa termasuk penindasan dan kezaliman di Gaza.

Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan