KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) bersedia menambah kekuatan pegawai dan anggota dalam operasi menyelamat sekiranya bencana banjir di beberapa negeri susulan Monsun Timur Laut ketika ini bertambah buruk.
Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata setakat ini 192 pegawai dan 3,552 anggota telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga menerusi Op Murni bagi membantu agensi lain di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau berkata kesemua anggota yang terlibat telah dilengkapi dengan pelbagai jenis alatan dan kelengkapan seperti lori, bot tempur dan peralatan menyelamat lain yang sedia digerakkan pada bila-bila masa untuk membantu dalam operasi menyelamat mangsa banjir.
“TDM berpegang kepada prinsip pertama di lokasi dan sejak awal Oktober lagi kami telah mengeluarkan arah panduan awal untuk menggerakkan semua formasi agar bersiap sedia dengan anggota dan peralatan serta mengenal pasti kawasan hotspot banjir.
“Sehingga hari ini, kita telah mengatur gerak 31 pegawai dan 350 anggota bersama 17 lori satu tan, 16 lori tiga tan serta 15 bot di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang telah terjejas teruk,” katanya pada sidang media selepas majlis kenaikan pangkat seorang anggota yang menyelamatkan empat remaja hampir lemas di Puncak Alam, Selangor pada 24 Nov lepas, di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Bagaimanapun Muhammad Hafizuddeain berkata operasi menyelamat mangsa banjir merupakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi lain dan pihaknya bersedia membantu NADMA selaku agensi peneraju.
“Kita akan menilai dari semasa ke semasa dan sekiranya bencana banjir ini semakin teruk TDM sentiasa bersedia menambah bilangan anggota serta peralatan yang diperlukan untuk membantu pihak berkuasa lain menyelamatkan mangsa,” katanya.
Terdahulu, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri terus meningkat dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 59,232 orang telah dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial