BELANJAWAN 2025 > BERITA

Untung Bersih Airasia X Pada Suku Ketiga Melonjak Kepada RM121.63 Juta

29/11/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih AirAsia X (AAX) Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2024 melonjak kepada RM121.63 juta, meningkat daripada RM5.56 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan kumpulan pula meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM795.02 juta, berbanding RM648.35 juta sebelumnya.

AAX dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, prestasi memberangsangkan itu dipacu terutamanya oleh jualan tiket yang lebih tinggi selain kumpulan mempunyai perolehan tambahan.

Kata syarikat penerbangan tambang murah itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan pelunasan (EBITDA) untuk suku yang sedang dinilai menyusut kepada RM76.1 juta berbanding RM132.14 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 30 Sept, 2024, untung bersih AAX menurun kepada RM206.57 juta berbanding RM339.10 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehannya meningkat kepada RM2.37 bilion berbanding RM1.71 bilion sebelumnya.

AAX berkata pengaktifan semula penuh kumpulan 18 pesawatnya hampir selesai dengan hanya satu pesawat yang tinggal untuk kerja pengaktifan semula dengan pengaktifan semula terakhir dijangka selesai menjelang suku pertama tahun kewangan 2025.

Mengenai prospek, kumpulan menjangkakan trajektori perniagaannya akan mengekalkan momentumnya, memastikan kelangsungan pendapatannya bagi baki tahun kewangan yang berakhir 2024 serta beralih ke suku akhir yang merupakan suku paling sibuk untuk industri pelancongan antarabangsa.

"Selain itu, pengukuhan ringgit baru-baru ini memberikan dorongan yang amat menggalakkan dan kumpulan kekal fokus untuk mengekalkan disiplin dalam struktur kosnya," kata AAX.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan