BELANJAWAN 2025 > BERITA

Untung Bersih Suku Ketiga Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Naik Kepada RM100.65 Juta

29/11/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM100.65 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 berbanding RM91.10 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat insurans itu berkata hasil naik kepada RM1.12 bilion daripada RM919.52 juta sebelum ini. 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih naik kepada RM296.05 juta berbanding RM276.60 juta setahun lepas, disumbang terutamanya oleh perlindungan takaful yang tinggi dan keuntungan yang lebih tinggi dalam takaful am.

"Hasil melonjak kepada  RM3.07 bilion daripada RM2.54 bilion sebelum itu," katanya.

Sementara itu, tunai dan bersamaan tunai susut daripada RM851.4 juta kepada RM653.8 juta pada 30 Sept, 2024.

Mengenai prospek, syarikat itu berkata ia akan memberi tumpuan kepada perniagaan teras kumpulan dalam bancatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am sebagai pemacu utama kejayaan mereka dalam menerajui industri takaful.

Selain itu, ia akan mempelbagaikan segmen digital dan menyasarkan pasaran runcit am serta takaful keluarga, termasuk platform digital utama mereka, Kaotim, yang telah mencapai keputusan positif sejak pelancarannya pada akhir 2023.

“Kumpulan kekal teguh dalam komitmennya untuk mengembangkan perniagaan dan memajukan kemampanan serta tanggungjawab alam sekitar kami.

"Pendekatan kami terhadap kemampanan adalah holistik, merangkumi tadbir urus yang kukuh, penjagaan alam sekitar, pelaburan yang bertanggungjawab dan sumbangan sosial yang bermakna," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan