BELANJAWAN 2025 > BERITA

Air Sungai Kelantan Melimpah Ke Bandar Kota Bharu - Polis

30/11/2024 04:36 PM

PASIR MAS, 30 Nov (Bernama) -- Bandar Kota Bharu sudah dinaiki air sedalam kira-kira dua meter berikutan air Sungai Kelantan di Tambatan D'Raja yang melimpah sejak 12 tengah malam tadi dan menunjukkan trend menaik.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata polis sedang melakukan persediaan untuk memindahkan mangsa banjir sekiranya menjejaskan pusat pemindahan sementara (PPS) sedia ada.

“Limpahan air sungai berlaku kerana air pasang di tempat lain dan bertembung dengan air Sungai Kelantan,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Balai Polis Repek di sini hari ini.

"Jika kita melihat keadaan sungai ini semakin hari semakin melimpah dan merebak ke kawasan lain yang memberi kesan kepada Kota Bharu dan Tumpat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff mengingatkan bahawa bencana banjir bukanlah pesta air untuk orang ramai berseronok dan mandi-manda.

“Sekali lagi saya mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa berwaspada dan mengawasi anak-anak mereka di musim banjir ini. Kita tidak pasti ada lubang, parit, longkang dan sebagainya,” katanya.

Tinjauan Bernama di pusat bandar Kota Bharu petang ini mendapati kebanyakan jalan sudah dinaiki air susulan limpahan air dari Sungai Kelantan.

Beberapa laluan utama di Kota Bharu juga terjejas dan tidak boleh dilalui kenderaan buat sementara waktu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan