TUMPAT, 1 Dis (Bernama) -- Prihatin dengan kesusahan orang ramai menghadapi bencana banjir, beberapa peniaga pakaian terpakai di sini mengambil inisiatif menurunkan harga jualan, malah bagi yang benar-benar tidak mampu, pakaian itu diberikan secara percuma sahaja sebagai jariah.
Mohd Sharifuddin Rusdi, 37, berkata pada kebiasaannya, kebanyakan kemeja-T di gerainya akan dijual RM10 bagi dua helai, sejak bencana banjir semakin buruk, empat hingga lima helai pakaian ditawarkan pada harga yang sama.
“Jika ada mangsa banjir yang betul-betul tidak berkemampuan pula, saya akan memberinya secara percuma kerana faham ada antara mereka yang menyelamatkan diri sehelai sepinggang saja, jadi memang perlukan pakaian gantian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Geting, di sini.
Seorang lagi peniaga Abd Samad Hamzah, 53, berkata selain kemeja -T, mangsa banjir yang berlindung di PPS biasanya akan membeli seluar trek dan jaket untuk keperluan mereka di pusat itu.
“Mereka biasanya akan membeli pakaian di sini bagi digunakan untuk sementara sebelum dapat pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata pada hari-hari biasa, gerainya akan dibuka di pasar-pasar malam dan pagi di seluruh kawasan Tumpat.
Seorang pelanggan Zanita Sulong, 46, berkata beliau membeli beberapa helai kemeja-T bagi digunakan oleh dirinya dan keluarga yang sedang menginap di sebuah homestay berdekatan, selepas rumah mereka di Taman Sri Bayu terjejas akibat banjir.
“Ini memang keperluan kami dan sebab itulah saya tidak berfikir panjang untuk beli baju di sini apabila ternampak gerai ini tadi," katanya.
Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial