KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengerah seramai 13,556 anggota dan pegawai dibantu 2,147 pegawai bomba bantuan serta 8,421 ahli pasukan bomba sukarela daripada 369 pasukan di seluruh negara bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang melanda negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata pasukan penyelamat sudah pun berada di lapangan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pembekuan cuti 100 peratus juga telah dikuatkuasakan bermula 1 Dis lepas melibatkan pegawai dan anggota JBPM negeri dan yang terlibat operasi Monsun Timur Laut (MTL).
“Seramai 82,000 anggota daripada pelbagai agensi sudah bersedia untuk gelombang kedua,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Kesiapsiagaan MTL di Balai Bomba Hang Tuah hari ini.
Nga berkata bagi tempoh 5 Nov hingga 10 Dis lepas, JPBM telah menerima sebanyak 1,111 panggilan kes penyelamatan berhubung kejadian bencana alam di seluruh negara selain 1,119 operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh JBPM yang melibatkan seramai 5,193 mangsa.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata JBPM dijangka memperoleh 30 jentera pemadam api baharu paling canggih bermula tahun hadapan dan perolehan aset itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan China.
“Saya nampak ada jentera bomba yang perlu baik pulih yang besar selain kenderaan yang sudah digunakan sejak sekian lama dan kita perlukan RM30 juta untuk membaik pulih.
“Tetapi kita ada (peruntukan) RM18 juta sahaja, memang tidak cukup, namun dengan hubungan diplomatik yang berjaya diterokai oleh yang berhormat PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah berjaya memujuk China.
“(Kerajaan) China cakap untuk peruntukan itu (RM18 juta) mereka akan bagi kita RM60 juta (nilai jentera) atas dasar hubungan diplomatik antara dua negara,” katanya.
Nga berkata sebelum ini, Belanjawan 2025 meluluskan perolehan 231 kenderaan baharu dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial