BELANJAWAN 2025 > BERITA

PADANG STADIUM NASIONAL CANTIK, BAIK MENJELANG AKSI MALAYSIA-TIMOR-LESTE

11/12/2024 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Keadaan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil kelihatan diselenggara dengan baik dan tampak bersedia menjelang perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Timor-Leste di sini malam ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, kekemasan dan kehijauan rumput padang yang bercorak "papan dam" begitu menyerlah, terutama selepas hujan lebat membasahi stadium keramat skuad Harimau Malaya itu kira-kira lima jam sebelum sepak mula.

Hujan lebat hampir 30 minit itu bagaimanapun tidak menjejaskan keadaan padang dan tidak ditakungi air.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Iliyas Jamil berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) memastikan keadaan padang berada pada tahap optimum.

"Kita sentiasa menjaga kualiti padang supaya perlawanan membabitkan Harimau Malaya berlangsung tanpa sebarang masalah. Pada masa sama, kita juga menggunakan penutup baharu bagi melindungi padang daripada rosak," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, padang Stadium Nasional sering menjadi tumpuan peminat dan pemerhati apabila melibatkan perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan.

Pada final Pestabola Merdeka 2024 yang menyaksikan Malaysia menumpaskan Lubnan 1-0 September lepas, pemain pertahanan negara dan Sabah FC Dominic Tan terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan, didakwa disebabkan keadaan padang yang teruk.

Rentetan kecederaan dialami Dominic, Ketua Jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan padang teruk yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pemain dan mengurangkan kualiti keseluruhan permainan.

Malaysia di bawah bimbingan Pau Marti Vicente kini berada pada ranking ke-132 dunia berbanding Timor-Leste ke-196.

Berdasarkan rekod, pasukan negara menang kesemua tujuh pertemuan dengan Timor-Leste dengan kali terakhir merakam kemenangan 5-1 pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun 2019.

Pada aksi pembukaan kumpulan Ahad lepas, Malaysia seri 2-2 dengan Kemboja di Phnom Penh sementara Timor-Leste dibelasah Thailand 10-0 di Hanoi, Vietnam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan