KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih Harimau Malaya Pau Marti Vicente memuji ketahanan pasukannya selepas mereka berjaya mengatasi cabaran getir untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Timor-Leste pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Bercakap selepas perlawanan, Vicente mengakui bahawa ia satu perlawanan yang mencabar, terutamanya dengan kecederaan yang dialami pemainnya, namun beliau memuji mereka atas kesungguhan dan keupayaan mereka untuk terus memberikan cabaran sehingga ke minit terakhir.
"Perlawanan hari ini, seperti yang anda lihat sangat sukar untuk kami. Tetapi perkara terbaik mengenainya tentunya keputusannya dan pengajaran yang kami pelajari, kami perlu berjuang setiap masa untuk mendapatkan apa yang kami mahu. Apabila perkara tidak berlaku seperti diharapkan, ketika nasib tidak menyebelahi kami, ketika kami cedera sewaktu perlawanan dan ketinggalan dua gol, pasukan masih perlu lakukan yang terbaik sehingga ke akhirnya.
"Ia sangat, sangat sukar, tetapi pada akhirnya kami menang. Seperti yang kami katakan, ini satu kejohanan dan kemenangan sangat penting. Akhirnya, inilah yang perlu kami pelajari daripada hari ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Timor-Leste Simon Ellichett memuji pemainnya kerana disiplin taktikal mereka, tetapi kecewa kerana mereka gagal gunakan peluang yang terhidang.
"Saya tidak gembira dengan keputusan ini, tetapi kami telah lakukan yang terbaik. Kami berjaya bertahan ketika Malaysia menguasai permainan dan kekal tersusun dalam pertahanan kami.
"Pemain kami tunjukkan displin taktikal yang bagus, tetapi kami tidak gembira dengan keputusan. Kami berharap perlawanan ini akan membantu kami dalam perlawanan seterusnya di Singapura dan Kemboja," katanya.
Terdahulu, Harimau Malaysia berjaya mengelak daripada dimalukan pasukan Timor-Leste, selepas mengalahkan pasukan itu 3-2.
Pemain naturalisasi Paulo Josue muncul wira Harimau Malaya, selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk mengubah keadaan, selepas Timor-Leste yang menduduki ranking ke-196 dunia, mendahului 2-1 pada separuh masa.
Malaysia sebelum itu membuka jaringan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-38, manakala kedua-dua gol Timor-Leste dijaringkan Olagar Xavier dan kapten pasukan Joao Pedro pada masa kecederaan separuh masa pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial