BELANJAWAN 2025 > BERITA

RCI: KEPUTUSAN DIBUAT TUN MAHATHIR SEBELUM MESYUARAT KABINET DIADAKAN - SAIFUDDIN NASUTION

12/12/2024 05:25 PM
From: Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada 23 Mei 2018.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata satu surat telah dikeluarkan berhubung perkara tersebut, sebelum mesyuarat Kabinet diadakan.

Beliau berkata fakta berkenaan adalah sama seperti yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

"Perkara itu sudah ada keputusan. Kita rujuk kepada turutan fakta seperti dalam laporan RCI, belum ada mesyuarat Kabinet satu surat sudah dikeluarkan oleh Tun (Dr Mahathir).

"Jadi ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas. Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCl dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut laporan itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas bekas perdana menteri itu mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan