KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Selepas 35 hari bersidang, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 menutup tirainya semalam, dengan 26 rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 diluluskan.
Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt lepas melibatkan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM421 bilion, dibahas pada peringkat dasar dan jawatankuasa hampir tujuh minggu sebelum diluluskan pada 3 Dis setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Belanjawan itu ialah yang ketiga di bawah Kerajaan MADANI dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Antara yang diluluskan sidang kali ini ialah RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, RUU Perkongsian Data 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 dan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.
Turut diluluskan RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024, RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.
Sementara itu, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 ditangguhkan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan untuk memperhalus dan meneliti perkara terbabit.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata RUU itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi bacaan kali kedua pada sidang kali ini, turut ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai lepas, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
Selain itu, dua RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama, iaitu RUU Majlis Media Malaysia 2024 bagi menubuhkan badan kawal selia kendiri serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 yang antara lain untuk menjadikan industri media lebih inklusif.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang membentangkan kedua-dua RUU itu memaklumkan bacaan kedua akan dibuat pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Sidang kali ini juga menyaksikan Parlimen Malaysia membuka lembaran baharu dalam reformasi institusi apabila buat julung kalinya Pengerusi JKPK diberi peluang untuk membuat penerangan bagi penyata jawatankuasa masing-masing di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sesi penerangan penyata itu bertujuan memberi pendedahan serta liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa.
Selain itu, Dewan Rakyat menyaksikan pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sekali gus membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung sesi perbahasan usul itu berkata ia bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk membaiki kelemahan yang telah berlaku berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Turut menarik perhatian sidang kali ini ialah penggantungan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari bermula 5 Dis lepas, susulan kenyataan negatif terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai.
Johari berkata tindakan itu diambil setelah pelbagai cara telah dibuat bagi meminta Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan termasuk menerusi surat yang dihantar pada 22 Julai, namun tidak diendahkan.
Persidangan Dewan Rakyat yang terakhir bagi tahun ini, ditangguhkan sehingga satu tarikh yang tidak ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial