XISHUANGBANNA (YUNNAN, CHINA), 13 Dis (Bernama) -- Forum Komunikasi Antarabangsa Yunnan Kali Ketiga (YICF) yang menghimpunkan pemimpin utama media dari pelbagai negara, baru-baru ini berfungsi sebagai platform untuk perbincangan mendalam, pertukaran idea, pencapaian konsensus, dan mempromosikan kerjasama menang-menang.
Dianjurkan oleh Agensi Berita Xinhua dan Kerajaan Wilayah Yunnan, forum bertemakan “Kerjasama, Mencipta Masa Depan dan Meneroka Laluan Baharu Komunikasi Antarabangsa” itu dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Tetap Parti Wilayah Yunnan merangkap Menteri Publisiti Zeng Yan, pada 10 Dis lepas.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Menteri Komunikasi Kemboja, Neth Pheaktra dan Naib Presiden Agensi Berita Xinhua, Yuan Bingzhong bersama lebih 200 peserta yang terdiri daripada sarjana, pegawai kerajaan, sektor swasta, pelajar universiti dan wakil media dari 21 negara.
Zeng Yan dalam ucapannya berkata penganjuran forum seumpama itu bertujuan membuka jalan bagi komunikasi antarabangsa dua hala antara China dan dunia.
“Selama tiga tahun, forum ini berkembang daripada peringkat domestik hingga antarabangsa.
“Kesan limpahannya semakin meluas, menjadikannya platform utama untuk pertukaran dan kerjasama media global serta peluang untuk rakan media memahami dan memaparkan mengenai China dengan lebih baik.
“Sebagai tuan rumah, kami komited menjadikan forum ini sebagai jenama industri dengan ciri-ciri China dan pengaruh dunia, serta forum komunikasi antarabangsa bertaraf tinggi yang menyuntik kuasa media untuk membina komuniti berkongsi nasib manusia,” katanya.
Beliau berkata untuk membina forum komunikasi antarabangsa serantau bertaraf tinggi, China bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menceritakan kisah negara itu dalam era baharu ini, sekali gus berharap rakan media dari seluruh dunia dapat membantu menyampaikan cerita mengenai kejayaan China dengan cara yang menarik dan mendalam.
“Kami juga berhasrat memperbaiki mekanisme kerjasama komunikasi antarabangsa. Media memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan antara negara, memperkukuh kepercayaan dan menyebarkan maklumat.
“Dengan perubahan pesat teknologi maklumat dan kemunculan media baharu, kami mahu bekerjasama untuk mencipta peluang baharu dalam pertukaran maklumat dan komunikasi global,” katanya.
Selain itu, forum berkenaan juga diharap memberi impak positif terhadap isu seperti kerjasama antarabangsa, pelancongan, kemiskinan dan ekologi serta menyumbang kepada pembangunan global yang mampan, kata Zeng Yan.
Sementara itu, wartawan Agensi Berita Laos Sangthong Phasavath, 47, menyuarakan keterujaan kerana dapat bertemu pengamal media serantau pada forum berkenaan.
"Forum ini membuka peluang untuk mempromosikan pelbagai sektor seperti pelancongan, sekali gus memberi manfaat kepada negara anggota ASEAN," katanya.
Md Sabbir Ahamed, 25, pelajar doktor falsafah dari Universiti Komunikasi China, memuji YICF sebagai platform penting bagi bertukar pandangan.
“Informasi adalah kunci untuk memahami dunia hari ini. Forum ini membantu kami lebih dekat dengan isu-isu semasa,” katanya.
Malaysia turut menghantar wakil daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan The Borneo Post untuk mengambil bahagian dalam forum itu.
Sebagai acara sampingan, forum ini juga menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pertukaran berita, pameran bergambar, perkongsian pengalaman daripada jurugambar terkenal, sesi mengenai keselamatan komunikasi dalam era kecerdasan buatan (AI) serta lawatan sekitar bandar Xishuangbanna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial