BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKDW AKAN LAKSANA PKD MOBILE MINI DI SABAH, SARAWAK - RUBIAH

14/12/2024 04:34 PM

KUNAK, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile mini di kawasan jauh jangkauan khususnya di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata PKD Mobile mini itu dilaksanakan mengikut konsep yang sama dengan PKD Mobile, tetapi pada skala yang lebih kecil dan lokasi program juga lebih jauh dari bandar atau di pedalaman. 

"Saya akan pastikan Seksyen Pembangunan Ekonomi Komuniti akan melaksanakan program ini di beberapa kawasan jauh khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan PKD ditingkatkan kepada RM5 juta pada tahun hadapan berbanding RM4 juta tahun ini, sekali gus membolehkan PKD Mobile mini dapat dibuat sebab kita rasa ada lagi kawasan yang jauh iaitu penduduk luar bandar tidak dapat keluar, tetapi kita datang santuni dengan bawa perkhidmatan diperlukan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan majlis PKD Mobile Sabah 2024 dan menyerahkan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada lima usahawan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Rubiah berkata PKD Mobile yang dilaksanakan tahun lepas sebagai satu daripada program utama KKDW, akan diteruskan bertujuan memperluas perkhidmatan PKD sedia ada termasuk perkhidmatan jabatan kerajaan dan swasta dalam bentuk kaunter perkhidmatan bergerak ke kawasan luar bandar.

"PKD Mobile akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan dijadikan sebagai pengubah keadaan kepada usaha mensejahterakan masyarakat luar bandar," katanya.

Beliau berkata selain itu perkhidmatan di 191 PKD di negara ini akan dipertingkat dari semasa ke semasa selaras sebagai pusat latihan, pusat pemerkasaan wanita, pusat pengumpulan produk termasuk menjadi pusat pendigitalan produk. 

Di samping itu, katanya KKDW menyediakan geran bantuan kepada usahawan luar bandar antaranya geran SPKLB bernilai RM5,000 dan melalui geran itu latihan, modal serta peralatan perniagaan diberikan sebagai membantu usahawan memastikan produk mereka dapati dinaik taraf.

Seorang penerima geran SPKLB, Ani Ganut, 54, yang merupakan peniaga makanan sejak 10 tahun lepas di Kampung Lormalong berkata dia mahu mengembangkan perniagaan kuih-muih dengan menambah peralatan membuat kuih.

"Saya berniaga di kampung sahaja, anak saya yang buat permohonan ini tahun lepas dan syukur saya diberi bantuan. Semoga bantuan diterima ini membolehkan perniagaan ini bertambah maju," katanya.

Mohd Yusof Miru, 37, berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membantu usahawan luar bandar melalui pemberian geran berbentuk bantuan peralatan perniagaaan itu.

"Saya berniaga takoyaki di Kampung Lormalong, dalam setahun pasti ada peralatan perniagaan akan rosak. Bantuan peralatan yang diberikan kerajaan melalui KKDW ini sudah tentunya cukup bermakna dalam membantu usahawan seperti saya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan