BELANJAWAN 2025 > BERITA

ISU BENDERA TERBALIK ADALAH KESILAPAN KETARA PIHAK BERTANGGUNGJAWAB

14/12/2024 04:40 PM
From: Mohd Hisham Abdul Rafar

PONTIAN, 14 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan isu melibatkan penggunaan Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain perseorangan lelaki profesional badminton negara Lee Zii Jia, sebagai kesilapan ketara dan kecuaian kritikal oleh pihak yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan atau laporan mengenai insiden berkenaan.

"Saya ambil maklum pihak terlibat telah ada (membuat) permohonan maaf. Bagi saya itu kesilapan yang ketara melibatkan baju yang dipakai pemain yang cukup dikenali, mewakili dan membawa bendera Malaysia.

"Jadi saya anggap itu satu kecuaian yang agak kritikal. Sekiranya ada siasatan, kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasat," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan projek pembuktian konsep (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat sama ada laporan berhubung insiden berkenaan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi penguatkuasaan lain. 

"Cuma nasihat saya, pengguna media sosial diharap berpada-pada dalam memberikan komen, kadangkala komen kita boleh disalah faham atau disalah erti dan kita tak nak ada keadaan mengapi-apikan. Biarlah kita ambil tindakan bersesuaian yang adil dan kita nak situasi seperti ini tidak berulang," katanya.

Pada Rabu lepas (11 Dis) lepas, penaja jersi pemain berkenaan Victor Malaysia, telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan akan menyiasat perkara berkenaan yang berlaku pada kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata Kongres Nasional PKR 2024 yang telah ditangguhkan sebelum ini, dijadual akan diadakan selepas musim Monsun Timur Laut (MTL) berakhir bagi menghormati mangsa bencana di seluruh negara.

"Kongres ini akan tetap diadakan di Johor, cuma tarikhnya selepas MTL, sebab kita faham ketika ini ramai yang terkesan akibat banjir yang tidak begitu baik. Ini keputusan kepimpinan parti. Kita sasarkan ia diadakan menjelang suku kedua tahun depan," katanya.

Pada 30 Nov, Fahmi berkata PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 yang dijadualkan pada 15 Dis, ekoran banjir di beberapa negeri.

Selain itu beliau berkata PKR juga akan mengadakan Kongres Khas di Shah Alam, Selangor esok, bagi meminda perlembagaan parti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan