BELANJAWAN 2025 > BERITA

JOHOR PERUNTUK RM16.8 JUTA BANTU 280,000 KELUARGA MISKIN DAN B40

14/12/2024 05:07 PM

JOHOR BAHRU, 14 Dis (Bernama) -- Johor memperuntukkan sebanyak RM16.8 juta bagi Program Bantuan Kasih Johor hasil daripada pendapatan yang mencecah RM2 bilion tahun ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata program itu dijangka akan memanfaatkan 280,000 penerima yang terdiri daripada keluarga miskin dan kurang kemampuan (B40), di seluruh Johor.

Beliau berkata 5,000 bakul makanan akan diagihkan kepada semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berfasa bermula hujung tahun ini, yang merupakan barangan asas termasuk beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan sardin.

"Agihan program ini akan dijalankan secara berfasa bermula Disember 2024 hingga Januari 2025, ia bagi memastikan pengurusan logistik berjalan lancar dan bekalan barangan kawalan dapat disediakan mengikut keperluan. Agihan akan melibatkan penghantaran 1,000 bakul kepada setiap DUN.

"Semasa balik ke Simpang Renggam, saya berkesempatan melancarkan program ini bagi DUN Machap dan Layang-Layang," katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan terus komited bagi memastikan golongan rentan mendapat perhatian yang sewajarnya dan berharap inisiatif baik ini mampu mengurangkan beban kos sara hidup serta menoktahkan golongan miskin tegar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan