BELANJAWAN 2025 > BERITA

INISIATIF PENDIDIKAN TINGGI PERCUMA SARAWAK SATU PELUANG LUAR BIASA - TYT

14/12/2024 08:14 PM

SIBU, 14 Dis (Bernama) -- Inisiatif kerajaan Sarawak menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua rakyatnya menjelang tahun 2026, merupakan satu peluang luar biasa yang perlu direbut untuk melahirkan ramai tenaga kerja mahir.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.

"Inisiatif kerajaan menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua rakyat Sarawak merupakan satu peluang yang luar biasa. Saya menyeru anda, para graduan kami dan pelajar-pelajar masa hadapan untuk merebut peluang ini, untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mahir yang akan memajukan Sarawak ke hadapan.

"Melalui kepakaran, kepimpinan dan inovasi anda, anda akan membantu menjadikan Sarawak hebat, menyumbang kepada matlamat bersama kita untuk kemakmuran dan kemajuan," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Ke-9 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud UTS hari ini.

Majlis dua hari yang bermula hari ini menyaksikan seramai 129 pelajar menerima ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah masing-masing pada hari ini, manakala 222 lagi pelajar menerima ijazah sarjana muda, esok.

Wan Junaidi yang baru dimasyhurkan sebagai Cancelor kedua universiti milik Kerajaan Sarawak sempena Majlis Konvokesyen UTS Ke-9 hari ini, berkata beliau menggalakkan ibu bapa di Sarawak untuk mempertimbangkan UTS sebagai universiti pilihan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

"Biarkan anak-anak anda yang lebih muda mengikuti jejak langkah abang-abang dan kakak-kakak mereka yang sedang bergraduasi hari ini. UTS bukan sekadar institusi yang dekat dengan rumah, tetapi juga satu yang berdiri teguh dalam reputasi dan kualiti pendidikan.

"Graduan kami adalah bukti bahawa kami menawarkan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah," katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan para graduan yang kini menjadi duta UTS dan akan mengorak langkah ke bab seterusnya dalam kehidupan, supaya menyokong dan mengekalkan legasi UTS sebagai sebuah universiti hebat.

Beliau berkata para graduan perlu mempromosikan UTS kepada orang lain, dengan berkongsi pengalaman positif dan memberikan maklumat betul serta tepat tentang perjuangan UTS dalam menjadi sebuah pusat pembelajaran dan inovasi terkemuka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan