KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Perak pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Manjung ditutup petang tadi dan keadaan banjir di Pahang semakin baik manakala Johor tidak berubah, setakat 8 malam tadi.
Di PERAK, menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas yang sebelum ini menempatkan 186 mangsa daripada 57 keluarga ditutup kira-kira 6 petang tadi, menandakan bencana banjir yang melanda negeri itu pulih sepenuhnya.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan pula memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada tahap amaran, iaitu setinggi 165.67 meter (m) manakala Sungai Perak di kawasan Pasang Api, Bagan Datuk pada aras berjaga-jaga dengan kedalaman anggaran 1.95 m.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan tahap waspada di sekitar kawasan Hulu Perak.
Di PAHANG, situasi banjir semakin baik apabila PPS SK Bukit Gemuruh di daerah Bera ditutup pada 5.10 petang tadi, meninggalkan hanya daerah Maran yang terjejas banjir, menempatkan 11 mangsa daripada empat keluarga di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian.
Sementara itu, semakan melalui portal Public Info Banjir JPS mendapati dua sungai utama di negeri itu melebihi tahap amaran, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.
Di JOHOR, menurut Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani, mangsa banjir kekal 36 orang daripada 11 keluarga yang kesemuanya berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di daerah Segamat.
Dalam pada itu, beliau berkata air sungai di stesen Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, dilaporkan melepasi paras amaran dan kekal 8.82 m manakala Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam daerah sama pula berada pada paras waspada dengan ketinggian 3.29 m.
Menurutnya, keadaan cuaca di daerah Johor Bahru, Muar, Mersing, Pontian, Kluang, Batu Pahat dan Tangkak diramalkan cerah, di Kota Tinggi dan Kulai mendung manakala Segamat dijangka hujan malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial