BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPM, DBP Sokong Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Dalam Undang-undang - Fadhlina

27/02/2025 10:53 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) akan sentiasa siap siaga bagi menyediakan prasarana berkaitan peristilahan, khususnya dalam bidang undang-undang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata usaha itu, termasuk memberikan kursus-kursus bahasa dan melaksanakan program seperti pertandingan debat serta pidato bagi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan kepada pengamal undang-undang.

“Usaha murni ini amat penting kerana kita tidak mahu akses berkaitan undang-undang bersifat dwistandard, khususnya yang berkaitan dengan sistem penyampaian, sehingga keadilan tidak dapat ditegakkan bagi menjamin hak dan keharmonian rakyat Malaysia yang penuh kerencaman ini.

“Sehubungan itu, KPM dan agensi di bawahnya, khususnya DBP akan sentiasa bersedia menyokong dan mendukung pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam bidang undang-undang dan keseluruhan ranah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Dalam Bidang Undang-Undang di Wisma DBP hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Simposium sehari berkenaan menghimpunkan tokoh-tokoh dan pengamal bidang undang-undang, ahli akademik, pentadbir, dan pelajar jurusan undang-undang.

Ia bertujuan menanam dan menyemai kecintaan dan mewujudkan sikap megah bahasa dalam kalangan semua pihak dalam bidang undang-undang di negara ini.

Simposium itu dianjurkan bersama DBP, Jabatan Bantuan Guaman (Jabatan Perdana Menteri), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Undang-undang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan