BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kluang Coffee Powder Factory Sasar Perolehan RM31.5 Juta Bagi 2025

27/02/2025 11:40 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Pembuat serbuk kopi tempatan, Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd, menyasar untuk meraih perolehan RM31.5 juta pada 2025, meningkat lima peratus daripada RM30 juta tahun lepas, dengan dipacu permintaan kukuh daripada pelanggan di pasaran fizikal dan dalam talian.

Pengurus Besar dan Pemilik Generasi Ketiga, Goh Yong Kian, 36, berkata pada masa ini pihaknya membekalkan serbuk kopi kepada lebih 100 kedai kopi di Malaysia dan Singapura, dengan jenama kopi utama, Kluang Coffee Cap Televisyen, tersedia di kedai komersial dan pasar raya di Malaysia.

Beliau berkata datuknya, Goh Tong Tor, menubuhkan syarikat itu pada 1966 dan muncul sebagai antara jenama isi rumah terkenal di Kluang.

“Kilang kami menghasilkan lebih 1,500 tan serbuk kopi setiap tahun, dan sumber biji kopi kami terutamanya dari Brazil, Indonesia, dan Vietnam.

“Setiap tahun, kami mengeksport 10 kontena serbuk kopi ke negara ASEAN seperti Singapura dan Brunei,” katanya kepada Bernama pada pameran yang diadakan sempena Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, pada Rabu.

Beliau berkata pihaknya merancang untuk membuka kilang baharu pada 2026, bersebelahan dengan kilang sedia ada di Kluang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan sasaran jualan yang lebih tinggi.

“Kami telah membeli kawasan berukuran satu ekar (0.4 hektar) dan akan membina sebuah kilang baharu, yang dijangka dibuka tahun depan,” katanya.

Kilang baharu itu dijangka dilengkapi dengan automasi sepenuhnya, mengurangkan tenaga kerja dan kos buruh di samping meningkatkan margin keuntungan, katanya.

Mengenai prospek industri kopi, Yong Kian berkata industri kopi di Malaysia diunjurkan berkembang pesat susulan peningkatan permintaan.

“Saya berpandangan wujud pasaran yang besar untuk industri kopi memandangkan permintaan meningkat dengan ketara setiap tahun.

“Inilah peluang besar bagi kilang kopi pada masa depan. Seiring dengan pertumbuhan pasaran, banyak pembuat baharu akan muncul, menjadikan pasaran lebih kompetitif dan juga meningkatkan kualiti kopi di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yong Kian turut bimbang mengenai kenaikan harga kopi kebelakangan ini akibat kekurangan bekalan daripada pembekal utama seperti Brazil dan Vietnam.

“Inilah cabaran besar bagi kami kerana terpaksa menaikkan harga untuk pengguna akhir dan pelanggan kami.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh menaikkan harga terlalu banyak, kerana pelanggan mungkin tidak dapat terima. Pada masa ini, usaha yang boleh kami lakukan adalah menyerap kos tersebut, yang bermaksud margin kami mungkin lebih rendah berbanding margin tahun lepas,” katanya.

Yong Kian berharap bekalan akan kembali normal menjelang akhir tahun ini atau tahun depan, yang akan membantu menurunkan harga biji kopi.

“Menerusi cara ini, kami boleh mengekalkan margin tanpa perlu menaikkan harga kepada pelanggan,” katanya.

Baru-baru ini, laporan menjelaskan harga kopi Arabica melonjak kepada paras tertinggi melebihi US$3.60 bagi satu pound akibat kekurangan bekalan di Brazil, pengeluar biji kopi terbesar dunia.

Permukiman AEM yang dijadualkan pada 28 Februari akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Mesyuarat berkaitan diadakan dari 22 hingga 27 Februari sempena dengan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

Antara agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN adalah mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi melangkaui rantau Asia Tenggara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan