BELANJAWAN 2025 > BERITA

TEKUN Nasional Catat Kadar NPL 9.8 Peratus Pada 2024 - Ewon

27/02/2025 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) 9.8 peratus pada tahun lepas berbanding 12.6 peratus pada 2023, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Selain itu, beliau berkata Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mencatat kejayaan cemerlang sejak 38 tahun ditubuhkan dengan pencapaian portfolio berisiko (PAR) tahun lepas pada paras 0.02 peratus berbanding 0.09 peratus pada 2023.

"Antara langkah diambil bagi mengurangkan NPL dan portfolio PAR, pertama mengadakan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi latihan pengurusan kewangan dan perancangan perniagaan untuk membantu usahawan mempunyai aliran tunai stabil dan seterusnya dapat melunaskan pinjaman. 

"Ia termasuk mengadakan kursus seminar asas keusahawanan bagi memberi kesedaran kepada peminjam mengenai kepentingan bayaran balik pinjaman mereka. Kedua, menjalankan pemantauan berkala dan penyeliaan secara rapi terhadap usahawan, termasuk memberikan sokongan bimbingan bagi membantu mereka mengatasi cabaran kewangan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata agensi berkenaan turut menawarkan opsyen penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan merangkumi pelan pembayaran lebih fleksibel seperti pelanjutan tempoh pembayaran atau pengurangan bayaran bulanan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai usaha dilakukan oleh agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti TEKUN Nasional dan AIM dalam mengurangkan kadar NPL agensi dan status pencapaian NPL agensi itu pada 2024.

Ewon berkata KUSKOP menerusi agensi TEKUN Nasional dan AIM sentiasa berusaha mengurangkan NPL dan PAR bagi memastikan dana berkenaan dapat disalurkan kepada usahawan lain yang memerlukan. 

"Apabila kita dapat kurangkan NPL dan PAR ini kedua-dua agensi ini mempunyai dana yang boleh dipinjamkan kepada usahawan-usahawan sedia ada dan lebih penting lagi usahawan baharu. 

"Dalam kesempatan berjumpa dengan usahawan, sepertimana diingatkan pegawai warga kerja TEKUN Nasional, saya mengingatkan usahawan-usahawan mengenai kepentingan pembayaran semula (pinjaman)," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan