NILAI, 27 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berpuas hati dengan pencapaian pasukan negara pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025, yang menutup saingan dengan cemerlang selepas mengutip 10 pingat keseluruhan.
Harnizam berkata kejayaan memenangi dua pingat emas, empat perak dan empat gangsa di Velodrom Nasional di sini berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi sebelum ini di New Delhi, India yang meraih keseluruhan tujuh pingat iaitu dua emas, dua perak dan tiga gangsa.
Beliau berkata kejayaan lebih manis apabila satu rekod Asia dan tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan dalam acara 1 kilometer (KM) ujian masa wanita, pecut individu wanita dan pecut berpasukan wanita.
“Saya gembira dengan pencapaian yang diraih pasukan negara pada ATC 2025, terutama ini adalah tahun pertama saya membimbing skuad kebangsaan.
“Bagaimanapun saya masih belum selesa dengan pencapaian yang diraih ini kerana banyak ruang untuk diperbaiki terutama sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini dan Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Harnizam ketika mengulas prestasi cemerlang ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada kejohanan itu, berkata beliau memuji persembahan yang ditampilkan anak jati Sungai Petani, Kedah berkenaan.
Beliau berkata ketika ini barisan kejurulatihan sedang merencanakan program latihan untuk Nurul Izzah Izzati, yang memfokuskan kepada pembinaan otot agar atlet itu dapat pergi lebih jauh dalam kejohanan yang disertainya selepas ini.
“Bagi saya, Nurul Izzah Izzati ini pelumba yang sempurna dari segi dia punya pecutan, tetapi jisim otot itu masih tiada sebab dia kecil.
“Kalau kita nak mendapatkan lebih kuasa pecutan, otot itu kita kena ada. Itu yang saya nampak setakat ini untuk Nurul Izzah Izzati,” katanya.
Secara keseluruhan, Nurul Izzah Izzati berjaya mengumpul dua emas dan masing-masing satu perak dan gangsa, selain berjaya memecahkan rekod kebangsaan serta Asia dalam acara pecut individu, pecut berpasukan dan 1KM ujian masa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial