BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tarif AS Antara Isu Dibincang Pada Permukiman AEM Ke-31 - Tengku Zafrul

27/02/2025 07:35 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Isu berkaitan rancangan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) antara perkara akan dibincangkan pada sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 esok, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Kami bukan hanya akan bincang dari segi tarif dan kesan perdagangan tetapi juga dari segi keselamatan teknologi, rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi berdasarkan prinsip ASEAN agar dapat bergerak senada,"  katanya pada sidang media bersempena penganjuran Permukiman AEM itu, di sini, hari ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengumumkan rancangan untuk mengenakan beberapa tarif kepada negara pengeksport ke AS termasuk 25 peratus tarif terhadap import automotif,  semikonduktor dan farmaseutikal kelak.

Mengenai tanggapan dibincangkan secara meluas bahawa ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan boleh menguntungkan negara ASEAN, Tengku Zafrul tidak bersetuju dengannya.

“Saya tidak bersetuju sama sekali bahawa ketegangan AS-China memberi manfaat secara langsung kepada ASEAN...perdagangan ASEAN dengan AS dan China adalah penting, sebarang gangguan dalam ekonomi mereka akan memberi kesan kepada ASEAN kerana kedua-dua negara ini mewakili hampir 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global," katanya.

Justeru, beliau berkata ASEAN perlu mengemudi cabaran ini dengan berhati-hati terutamanya apabila sekatan, tarif atau sekatan eksport dikenakan oleh satu negara mungkin mempunyai kesan limpahan ke atas wilayah negara jiran.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menggesa pendekatan terancang dan secara berperingkat dilakukan untuk membuka pasaran di seluruh rantau ASEAN bagi memupuk pertumbuhan ekonomi.

"Mana-mana negara pasti akan melindungi industri pada pandangan mereka belum matang atau tidak bersedia untuk persaingan yang adil bagaimanapun kita memerlukan pencapaian dan garis masa untuk negara bersikap terbuka terutamanya dalam kalangan negara anggota ASEAN," katanya.

Beliau berkata usaha yang sedang berjalan seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) sebagai contoh utama komitmen ASEAN terhadap multilateralisme dan memperkukuhkan kerjasama ekonomi.

Pada masa sama, Tengu Zafrul berkata dasar perlindungan dalam sektor perkhidmatan merupakan penghalang ketara kepada integrasi serantau yang lebih mendalam.

"Lebih banyak perlindungan wujud dalam sektor perkhidmatan berbanding sektor barangan. Ini adalah bidang di mana kita perlu mewujudkan lebih keterbukaan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi," katanya.

Tengku Zafrul akan mempengerusikan ses Permukiman AEM ke-31 dijadualkan berlangsung di Desaru esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan