JOHOR BAHRU, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan RM9.25 juta (Fasa 1) bagi memperkasa agenda keterjaminan makanan menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata projek yang diluluskan meliputi Program Memperkasa Industri Agromakanan Tanaman dan Komoditi Berpotensi, Program Memperkasa Pembangunan Industri Asas Tani, Program Johor Future Agropreneur (JFA) serta Pemerkasaan Projek Agromix Segamat Fasa 3.
Beliau berkata projek lain adalah Projek Pembangunan High-Tech System di Pusat Memproses Makanan Fama (PMMF) Rengit, Projek Peningkatan Produktiviti Fertigasi Golden Melon PPK Pekan Nanas serta Pembangunan Sistem Mekanisasi dan Automasi Jentera Ladang Nanas MD2.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada KPKM atas kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan program atau projek memperkasa agenda keterjaminan makanan ini, menerusi Program Kerjasama Antara KPKM dan Kerajaan Negeri Johor Tahun 2025.
"Kita akan memberikan komitmen penuh untuk memastikan segala peruntukan pembangunan yang diterima ini dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus memastikan objektif yang disasarkan dapat dicapai," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil inisiatif awal bagi mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pihak KPKM dan jabatan serta agensi terlibat dalam memastikan gerak kerja dapat dimulakan segera dan diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan atau lebih awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial